KUALA TERENGGANU: Mahkamah Majistret di sini, semalam menjatuhkan hukuman denda RM10, 000 dan penjara 10 bulan ke atas seorang lelaki setelah didapati bersalah mencabul seorang remaja bawah umur dan memecah masuk kediaman mangsa kira-kira sembilan tahun lalu.
Tertuduh, Kamal Juhan, 38, hanya tunduk ketika Majistret, Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman ke atasnya selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK) kerana mencabul dan Seksyen 457 KK kerana pecah rumah.
Mengikut pertuduhan pertama, Kamal didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan mencabul kehormatan mangsa yang ketika kejadian berusia 17 tahun di Kampung Surau Haji Daud, di sini, kira-kira jam 2.50 pagi pada 13 Ogos 2003.
Bagi pertuduhan itu, Abdul Hayyi menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau 10 bulan penjara sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.
Sementara itu, Kamal yang didakwa memecah masuk kediaman mangsa dengan masuk melalui tingkap rumah di alamat dan tarikh sama kira-kira jam 2.30 pagi turut dijatuhi hukuman penjara selama 10 bulan dan Abdul Hayyi memerintahkan hukuman berkenaan dijalankan bermula dari tarikh sabitan.
Mengikut fakta kes, tertuduh yang memecah kediaman mangsa yang ketika itu berusia 17 tahun kira-kira jam 2.50 pagi pada 13 Ogos 2003 dan bertindak memukul mangsa atas alasan mahu membalas dendam.
Tertuduh bertindak mencabul mangsa dan mengugut akan mencederakan mangsa sekiranya mangsa enggan menuruti kehendaknya.
Mangsa cuba menjerit meminta tolong tetapi gagal disebabkan tertuduh menutup mulutnya dengan tangan.
Ketika kejadian, ibu bapa mangsa tidak berada di rumah dan dia hanya tinggal bersama adiknya. Bagaimanapun, perbuatan itu tidak disedari adiknya sebelum mangsa membuat laporan selepas tertuduh beredar dari kediamannya, tertuduh berjaya ditahan pada 18 Ogos 2003.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan