Sabtu, 17 Mac 2012

Pekerja swasta mati dipercayai ditikam suami

KUALA LUMPUR: Seorang wanita ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di bahagian badan serta luka di tangan dipercayai dibunuh suaminya di ruang tamu rumah di Pangsapuri Permai, Sungai Besi di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata dalam kejadian 6.41 petang, wanita berusia 28 tahun itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah akibat daripada kesan tikaman.

"Mangsa merupakan seorang pekerja swasta yang tinggal di pangsapuri berkenaan dalam tiga ke empat bulan lepas telah dibunuh di dalam rumah itu dan polis tidak menolak kemungkinan ia dilakukan oleh suami mangsa.

"Ketika polis tiba di tempat kejadian, seorang lelaki berusia 42 tahun iaitu suami mangsa berada berhampiran tubuh isterinya yang sudah tidak bernyawa," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, siasatan awal polis menemui sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

"Kita jumpa sebilah pisau di dalam sebuah bilik di sebelah ruang tamu rumah sementara siasatan yang dilakukan ke atas mayat wanita terbabit pula mendapati kesan luka di bahagian tangannya itu kerana mempertahankan dirinya semasa kejadian.

Mohan berkata polis masih menyiasat punca sebenar kejadian bagaimanapun tidak menolak ia berpunca daripada perselisihan faham suami isteri.

Katanya mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat dan suspek ditahan reman bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan