KOTA DAMANSARA: Hasrat seorang abang mengirimkan wang belanja perkahwinan adiknya lesap apabila asrama didiaminya disamun dalam kejadian di Kota Damansara, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian jam 2.10 pagi itu, mangsa, Md Shafiqul bersama enam rakannya yang bekerja di sebuah restoran di kawasan itu disamun tiga lelaki yang menyamar sebagai polis.
Shafiqul berkata, ketika kejadian, mereka baru pulang kerja dan sedang berehat, sebelum tiga lelaki berusia 30-an masuk ke dalam rumah dan mengarahkan mereka menunjukkan permit perjalanan.
Menurutnya, akibat gagal menunjukkan permit perjalanan, mereka dipaksa membayar RM1,000 setiap seorang bagi mengelakkan ditahan.
“Ketiga-tiga lelaki menunjukkan kad yang tercatat perkataan polis dan gari bagi menakutkan kami.
“Mereka mengarahkan kami memberi semua simpanan dan wang gaji yang baru diterima beberapa hari lalu,” katanya.
Shafiqul berkata, mereka ditendang dan dipukul dengan besi katil kerana enggan mengikut arahan.
Menurutnya, wang simpanan RM4,000 yang mahu dikirimkan kepada adiknya di Bangladesh lesap selepas ketiga-tiga lelaki itu memeriksa dompetnya.
“Hampir tiga bulan saya menyimpan wang itu untuk perkahwinan adik April nanti.
“Selain wang tunai, dua telefon bimbit juga dirampas dan duit syarikat sebanyak RM2,000,” katanya.
Katanya, seorang daripada suspek dikenalinya dan merupakan warga Indonesia serta pernah mengunjungi premis tempatnya bekerja.
Dia yang dua tahun bekerja di restoran Sekinchan Ikan Bakar tidak pernah mengalami kejadian itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Restoran Sekinchan Ikan Bakar, Lila Ruzaini Mohd Husin berkata, lebih daripada lapan telefon bimbit milik kakitangannya disamun dan dianggarkan kerugian RM20,000.
“Kita buat laporan di Balai Polis Kota Damansara dan serah kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
“Sebelum ini, tabung di hadapan kaunter dicuri dan kini pekerja disamun,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan menerima laporan tersebut.
Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan