EMPAT tertuduh termasuk kekasih Zara (baju biru) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam.
PETALING JAYA: Kekasih kepada seorang pensyarah kolej swasta yang ditemui mati dibunuh bersama bapanya di Puchong dua minggu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam bersama tiga lagi rakannya atas dua tuduhan membunuh.
Tertuduh Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 20, dan tiga lagi rakan, Mohamad Sharafee Matt Noh, 19, Azizi Aizat Ibrahim, 20, dan Muhamad Safwan Muhamad, 20, kelihatan tenang dan hanya menjawab mereka faham, semasa ditanya berhubung tuduhan tersebut.
Namun tiada pengakuan direkodkan oleh kesemua tertuduh yang merupakan pelajar di kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics di Cheras, Kuala Lumpur tempat mangsa mengajar.
Mereka didakwa membunuh Zara Eleena Omar Peter, 23, juga orang kelainan upaya (OKU) di rumah No. 28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara Puchong antara pukul 1.30 pagi dan pukul 2.30 pagi, 9 Mac lalu.
Bagi tuduhan kedua, mereka didakwa membunuh bapa Zara, Omar Peter Abdullah, 57, di antara pukul 11.30 malam, 8 Mac lalu hingga pukul 1.30 pagi, 9 Mac lalu di rumah sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aifaa Che Abdullah mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid menetapkan 23 April depan untuk sebutan semula kes itu bagi menunggu laporan bedah siasat serta untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.
Tiada jaminan ditawarkan dan kesemua tertuduh ditahan di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu kes dibicarakan.
Ahli keluarga mangsa dan juga kesemua tertuduh tidak kelihatan di mahkamah semalam./kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan