KLANG: Seorang pemuda yang baru mendirikan rumah tangga sembilan bulan lalu maut ketika sedang menjamah makan malam bersama empat rakannya selepas ditembak dua lelaki bermotosikal, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 malam itu, mangsa, V Nirmal, 30, dikatakan berada di sebuah restoran Cina di Taman Kim Chuan, Pandamaran untuk menjamu selera sebelum secara tiba-tiba ditembak individu tidak dikenali.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah dirusuk dan bahu kiri dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Salah seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali memberitahu, mangsa pergi ke restoran berkenaan untuk makan bersama rakan-rakannya.
“Dia baru sembilan bulan mendirikan rumah tangga dan dia mempunyai syarikat kawalan keselamatan sendiri, kami tidak sangka dia meninggal dunia dalam keadaan kejam seperti ini,” katanya.
Dalam kejadian itu, seorang wanita berusia 35 tahun yang sedang makan bersama keluarganya di meja berhampiran turut cedera di kaki kanan akibat terkena salah satu daripada tembakan yang tersasar.
Wanita berkenaan kini sedang dirawat di HTAR.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Azman Abd Razak berkata, berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek yang memakai penutup muka memang melepaskan tembakan ke arah meja yang diduduki Nirmal.
Polis menurutnya, masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti penembak terbabit serta motif kejadian.
“Polis sedang melancarkan gerakan untuk memburu kedua-dua suspek, kita percaya mangsa yang cedera dalam insiden itu pula bukan sasaran suspek.
“Kemungkinan tembakan telah tersasar dan terkena anggota badan wanita itu, bagaimanapun identitinya harus dirahsiakan atas sebab keselamatan,” katanya.
Buat masa ini, polis sudah mengambil keterangan saksi di tempat kejadian termasuk empat rakan mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan