KOTA BHARU: Seorang pelajar perempuan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mendakwa dicabul seorang doktor pelatih di sebuah hospital di sini pada 4 Mac lalu.
Pelajar terbabit dikatakan dicabul ketika berada di unit kecemasan hospital terbabit kira-kira jam 10.20 pagi ketika mendapatkan rawatan.
Menurut sumber, mangsa pada mulanya dirawat seorang doktor perempuan, namun terpaksa meninggalkan mangsa kerana perlu merawat kes kecemasan.
“Seorang doktor lelaki masuk ke bilik rawatan dan tanpa sebarang soalan, doktor tersebut meraba buah dada mangsa.
“Selepas meraba mangsa, doktor tersebut juga meminta seorang jururawat untuk memeriksa pelajar itu dan kemudian meraba alat sulit mangsa,” katanya.
Pelajar itu juga diarahkan doktor tersebut untuk melakukan senaman secara berhadapan dan dia memegang pinggang mangsa serta diarah melentikkan diri menyebabkan mangsa dicabul sekali lagi.
Apabila mangsa menyedari dirinya dicabul, dan tindakan tersebut bukannya rawatan, mangsa kemudiannya melarikan diri dari bilik itu serta membuat aduan kepada doktor wanita yang mula-mula merawatnya.
“Bagaimanapun, surat yang ditulis oleh mangsa kepada hospital tersebut tidak dilayan sehingga kini. Mangsa dikatakan lambat membuat laporan kerana terpaksa menduduki ujian peperiksaan,”katanya.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.
Azham berkata, kes tersebut akan disiasat mengikut seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.
“Usaha mengesan suspek kini sedang giat dijalankan,” katanya./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan