PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman mati ke atas seorang pekerja kilang ayam kerana membunuh seorang pencari kerja, Siti Zawiah Sudin, enam tahun lalu.
Panel tiga hakim, yang dipengerusikan oleh Datuk Sulaiman Daud, turut mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 18 tahun dan lima sebatan terhadap Muhammad Rasid Hashim kerana merogol wanita berusia 23 tahun itu.
Siti Zawiah yang tiba di Kuala Lumpur 22 hari sebelum kejadian untuk mencari pekerjaan bagaimanapun berhasrat pulang ke kampung di Pasir Puteh, Kelantan pukul 9 malam hari kejadian setelah gagal mendapat kerja.
Mangsa ditemui dalam keadaan nyawa-nyawa ikan oleh dua rakan serumahnya dengan kecederaan kepala di atas lantai bilik tidur rumah tempat dia menumpang sebelum meninggalkan dunia di Hospital Selayang.
Panel hakim, yang turut dianggotai oleh hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Wahab Patail dan Datuk Azahar Mohamed, sebulat suara menolak rayuan Muhammad Rasid terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mensabitkannya atas dua tuduhan itu.
Hakim Sulaiman berkata, mahkamah mendapati hakim perbicaraan tidak terkhilaf berhubung fakta-fakta kes dan sabitan terhadap Muhammad Rasid adalah selamat./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan