Isnin, 19 Mac 2012

Ibu gundah, anak gadis dilarikan orang

Siti Nur Fatihah Mahadi
KUANTAN: Seorang suri rumah kini berada dalam keadaan tertekan apabila anak gadisnya Siti Nur Fatihah Mahadi, 15, hilang sejak tengah hari semalam dipercayai diculik tiga individu dalam kejadian di Taman Tas dekat sini.

Nor Mala Mohd Lazin, 34, berkata, kejadian berlaku ketika anak sulungnya itu ke kedai telefon berhampiran rumah mereka bersama dua adiknya Siti Nurul Aishah dan Mohd Shahmi Aiman yang masing-masing berusia 11 tahun.

"Saya terkejut apabila kedua-dua anak saya pulang tergesa-gesa ke rumah sambil menangis tanpa kakaknya dan apabila ditanya mengapa menangis, mereka memberitahu kakak Fatihah dilarikan orang,” katanya kepada pemberita, di rumahnya di sini hari ini.

Katanya, beliau diberitahu Nurul Aishah bahawa kakaknya dilarikan dengan sebuah kereta bercermin gelap dipandu seorang wanita yang turut dinaiki dua lelaki.

"Kereta tersebut tiba-tiba berhenti berhampiran mereka sebelum seorang lelaki yang duduk di belakang membuka pintu dan menarik Fatihah. Kedua-dua adiknya itu sempat menarik kakak mereka namun terlepas,” katanya.

Beliau berkata, Fatihah yang merupakan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan di sini, adalah anak yang baik dan tidak akan ke mana-mana tanpa keluarga./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan