Sabtu, 30 Jun 2012

Tiga pelajar minum racun di sekolah

PUTRAJAYA: Akibat takut dikenakan tindakan disiplin, tiga pelajar perempuan bertindak melulu cuba membunuh diri dengan minum racun di sebuah sekolah menengah di Sungai Pelek, Sepang, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Imran Abdul Rahman berkata, semua mangsa berketurunan India dan berusia 16 tahun, dipercayai bertindak demikian selepas pihak sekolah dikatakan mengenakan tindakan disiplin terhadap mereka.

Beliau berkata, kejadian itu dimaklumkan pihak hospital kira-kira jam 2 petang ketika ketiga-tiga pelajar itu sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), Negeri Sembilan.

“Mangsa dipercayai minum racun kerana takut dikenakan tindakan disiplin oleh pihak sekolah. “Mereka ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kawasan sekolah sebelum di hantar ke hospital untuk rawatan.

“Setakat ini, kita belum tahu jenis racun yang diminum, dan kes disiasat mengikut Seksyen 309, Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh diri,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Selangor, Abdullah Mad Yunus ketika dihubungi berkata, pihaknya belum mendapat maklumat mengenai kejadian itu, dan tindakan segera akan diambil untuk menyiasat.

“Saya belum mendapat laporan lagi, tetapi saya akan minta pegawai berkaitan untuk menyiasat kejadian ini,” katanya.

Di Seremban, dua daripada tiga pelajar wanita yang dikejarkan ke HTJS masih belum sedarkan diri dengan seorang daripada mereka ditempatkan Unit Rawatan Rapi (ICU).

Seorang pelajar berusia 16 tahun yang sedar dan ditahan di wad pesakit luar menafikan dia minum racun rumpai itu bersama dua lagi rakannya.

Katanya, dia tidak tahu kenapa gurunya mengarahkan dia mengikut dua lagi rakannya yang ketika itu tidak sedarkan diri dipercayai akibat meminum racun rumpai berkenaan.

“Saya akui dua rakan itu mempunyai masalah disiplin di sekolah. Mungkin mereka tidak dapat menerima kenyataan bakal dibuang sekolah mengakibatkan mereka mengambil tindakan sedemikian,” katanya.


Katanya, dia kesal dengan perbuatan dua rakan baiknya itu kerana mereka adalah rakan karib sejak sekian lama dan sering menghabiskan masa bersama.

“Saya harap mereka akan berubah selepas kejadian ini dan tidak mengulangi perkara sama,” katanya.”/hmetro

Lelaki sedang menunggu dalam kereta maut ditembak

PETALING JAYA: Seorang lelaki yang sedang menunggu dalam kereta di luar sekolah anaknya, Sekolah Kebangsaan Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan dekat sini, maut selepas ditembak dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abd Razak Elias berkata ketika kejadian pukul 7.30 pagi itu, mangsa berumur 32 tahun sedang menunggu isterinya yang menghantar anak lelaki tunggal mereka berusia lapan tahun masuk ke dalam sekolah.

"Mangsa yang duduk di tempat pemandu dalam kereta jenis Perodua Myvi, tiba-tiba didatangi dua lelaki bermotosikal dan bertopi keledar penuh sebelum seorang daripada mereka melepaskan dua das tembakan ke arahnya dari jarak dekat.

"Tembakan itu terkena rusuk kanan dan menembusi bahu kirinya. Mangsa yang juga seorang peniaga kedai runcit kemudian dihantar ke Hospital Serdang sebelum disahkan meninggal dunia pukul 9 pagi," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Abd Razak berkata hasil siasatan mendapati suspek menunggang motosikal jenis Yamaha LC bewarna merah dan menggunakan pistol jenis semi auto.

"Siasatan lanjut juga mendapati mangsa yang tinggal di Sungai Chua, Kajang tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan menurut isteri mangsa, suaminya tidak mempunyai musuh," katanya.

Abd Razak berkata polis dalam pada itu tidak menolak kemungkinan kejadian bermotifkan dendam dan telah dirancang rapi oleh suspek tersebut.

"Di sekolah tersebut tidak mempunyai rakaman kamera litar tertutup. Sehubungan itu kami meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya menyalurkan maklumat ke balai polis berdekatan," katanya./Bernama

Kerani bank rentung selepas diserang dan dibakar

KUALA LUMPUR: Seorang kerani bank yang baru dua minggu mengikat tali pertunangan dijumpai dalam keadaan rentung selepas diserang dan dibakar di hadapan rumahnya di Apartmen Mesra Prima, Kampung Ampang Campuran, Ampang di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supt Nazri Nawawi berkata ketika kejadian mangsa yang dikenali sebagai P. Yoga Ambiga, 27, baru pulang dari kerja di sebuah bank di Medan Pasar pada pukul 10.15 malam.

"Mangsa diserang oleh suspek yang dipercayai lebih daripada seorang. Mangsa berada dalam keadaan tertiarap dan hangus akibat dibakar," katanya kepada Bernama.

Katanya hasil siasatan awal mendapati suspek menunggu mangsa pulang dari kerja.

"Barang-barang berharga milik mangsa seperti dompet dan telefon bimbit masih berada pada mangsa dan kita tidak menolak kemungkinan motif kejadian adalah disebabkan cemburu," katanya.

Katanya polis masih menyiasat bahan yang digunakan oleh suspek untukmembakar mangsa.

Mangsa menetap di rumah itu bersama kakaknya sejak lima tahun lalu.

Sementara itu, seorang saksi kejadian itu yang hanya ingin dikenali sebagai Efa, 32, yang juga jiran mangsa berkata, ketika kejadian dia sedang menonton televisyen di rumahnya sebelum terdengar bunyi bising dan suara orang menjerit di luar rumahnya.

"Saya dengar bunyi orang menjerit dua kali sahaja dan kira-kira 10 minit selepas itu saya buka pintu saya tengok ada seorang wanita berada dalam keadaan tertiarap dan seluruh badannya hangus terbakar.

"Dalam masa itu juga ada jiran lain yang datang untuk padamkan api," katanya.

Efa berkata kejadian itu berlaku begitu pantas kerana selepas 10 minit kemudian mangsa sudah tidak bernyawa dan kejadian itu tidak disedari kakak mangsa yang berada di dalam rumah memandangkan kakaknya itu pekak dan bisu.

"Saya rasa mangsa mungkin telah dipukul terlebih dahulu sebelum dibakar kerana itu jeritan suaranya hanya kedengaran sayup sahaja," katanya.

Katanya sebelum kejadian itu, terdapat jiran yang melihat kelibat orang luar di kawasan sekitar apartmen sejak pukul 7.30 malam./Bernama

Jumaat, 29 Jun 2012

Suami Isteri Didakwa Rompak, Cabul Ejen Hartanah

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Jumaat terhadap pertuduhan merompak dan mencabul seorang ejen hartanah, bulan lepas.

Wong Wai Kit, 33, dan How Sow Kim, 33, didakwa merompak wanita berusia 34 tahun itu di kediaman mangsa di Mont Kiara Palma, Brickfields pada 5 petang, 10 Mei lepas.

Dalam insiden itu, mangsa cedera dan kerugian RM70,000.

Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Wong turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat hendak mencabul mangsa di tempat dan masa sama, mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, denda atau sebatan, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli menawarkan jaminan RM25,000 terhadap Wong bagi kedua-dua pertuduhan manakala How sebanyak RM20,000masing-masing dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, pasangan itu yang tidak diwakili peguam, memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana mereka tidak bekerja dan perlu menyara dua anak berusia tujuh dan empat tahun serta ibu.

Hakim, Datuk Jagjit Singh Bant Singh kemudian membenarkan Wong diikat jaminRM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan manakala How sebanyak RM2,000 dan menetapkan 27 Julai untuk sebutan semula kes.

"Jaminan untuk How adalah munasabah memandangkan beliau mempunyai dua anakmasih kecil yang memerlukan beliau manakala Wong sebagai suami, dikenakan jaminan tinggi.

"Oleh itu, peluang Wong untuk tidak hadir ke mahkamah adalah lebih tipis," katanya./Bernama

Dirogol ketika mandi sungai

KUALA KUBU BHARU: Pendarahan banyak pada kemaluan membongkar perbuatan sumbang seorang remaja berusia 16 tahun yang mengakui disetubuhi teman lelakinya.

Ibu remaja terbabit yang mengetahui perkara itu telah membuat laporan polis sehingga membawa kepada tangkapan teman lelaki anaknya itu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, perkara itu hanya disedari ibu remaja terbabit selepas dua hari hubungan sulit dilakukan.

“Menurut fakta kes, mangsa (remaja wanita) diajak oleh suspek (lelaki) terbabit untuk melakukan hubunganseks di kawasan Air Terjun Sungai Balak, Jalan Genting - Batang Kali dekat
sini pada 24 Jun lalu.

“Pengadu datang bersama dua sepupu dan tiga rakannya ke kawasan air terjun itu untuk mandi. Tetapi suspek berusia 22 tahun telah mengajak mangsa ke kawasan jauh sedikit daripada tempat mandi mereka.

“Suspek kemudian telah memujuk dan memaksa mangsa untuk melakukan hubungan seks tapi mangsa tak nak dan menghalangnya, namun mangsa dikatakan tidak berdaya melawan dan suspek terus rogol mangsa,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Menurut beliau, selepas kejadian itu mangsa balik ke rumah tanpa memberitahu sesiapa mengenai kejadian itu.

Jelasnya, hanya dua hari kemudian mangsa mengalami pendarahan yang banyak pada kemaluan sehingga diketahui ibunya dan mangsa menceritakan perkara sebenar.

Norel berkata, bertindak atas makluman mangsa, polis berjaya menangkap suspek di rumahnya di Kampung Kuantan, Batang Kali.

“Suspek mengaku melakukan hubungan itu dengan remaja wanita itu dan ia dilakukan pertama kali,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kini ditahan di Hospital Selayang kerana mengalami kesan koyak pada kemaluan.

Norel Azmi memberitahu, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol./sinarharian

Tanam bayi belakang warung


ABDUL MAJID menunjukkan gambar rangka bayi yang ditemui ditanam di belakang sebuah warung di Kampung Baru, Kluang, Johor pada sidang akhbar semalam.
KLUANG: Rahsia besar seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang tergamak menanam bayinya sendiri di belakang sebuah warung di Kampung Baru di sini sejak dua bulan lalu terbongkar apabila 'kubur' bayi malang itu digali polis Isnin lepas.

Mayat bayi yang belum diketahui jantinanya itu ditemui secara tidak sengaja pada pukul 11 pagi selepas seorang penduduk tercium bau busuk ketika hendak menanam bangkai kucing di kawasan tersebut.

Bayi itu dibungkus menggunakan plastik merah sebelum ditanam. Polis kemudian menahan remaja itu di rumahnya yang terletak kira-kira 20 meter dari lokasi mayat bayi tersebut ditemui.

Soal siasat mendapati bayi itu dilahirkan hasil hubungan sulit suspek dengan teman lelakinya berusia 20-an. Penganggur terbabit kini dicari polis.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd. Ali berkata, siasatan mendapati bayi itu telah ditanam pada April lalu sebaik dia dilahirkan./kosmo

Lelaki Hilang Ditemui Mati Dengan Kepala Hampir Putus

KUALA LUMPUR: Misteri kehilangan seorang lelaki tempatan yang dikatakan hilang sejak Sabtu lepas terjawab apabila mayatnya ditemui di dalam longkang di Segambut Gate di sini Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supt Othman Abu Bakar berkata mayat lelaki berumur 35 tahun itu ditemui orang awam pukul 1.30 tengah hari dalam keadaan perutnya yang sudah kembung, leher diikat dan kepala ditutup dengan selimut.

"Mayat lelaki yang berasal dari Segambut itu ditemui tersangkut di perangkap sampah dengan berpakaian kemeja-T dan berseluar pendek. Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapati ada enam kesan tikaman di dada kanan lelaki itu selain kepalanya hampir putus," katanya pada sidang media di sini Khamis.

Menurutnya, laporan pihak hospital menunjukkan lelaki itu mati dua hari lepas.

Isteri lelaki itu sebelum ini membuat laporan polis mengenai kehilangan suaminya pada Isnin lepas.

"Kita tidak menolak kemungkinan lelaki itu dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak ke longkang tersebut," kata Othman, sambil menambah kata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

Dalam kes berasingan, polis menahan seorang lelaki warga Colombia yang menjadikan kondomium mewah di Solaris Duta di sini sebagai sasaran pecah rumah.

Othman berkata lelaki berumur 30 tahun itu ditahan pada 9.30 malam tadi ketika terjatuh ke dalam sebuah longkang besar berdekatan kondominum itu semasa melarikan diri daripada anggota polis yang mengejarnya.

"Suspek sempat melemparkan dua beg yang disandangnya ke tepi jalan sebelum terjun ke longkang itu. Akibatnya, lelaki yang memasuki negara ini pada 20 Jun lepas dengan menggunakan pas pelancong itu cedera di buku lali kanan dan kini dirawat di HKL," katanya.

Othman berkata polis yang memerika beg berkenaan menemui pelbagai peralatan pecah rumah seperti pemutar skru, spanar dan sarung tangan di samping barangan curi iaitu komputer riba, wang tunai RM1,000 dan telefon bimbit.

Turut ditemui pasport lelaki terbabit yang menunjukkan suspek sudah beberapa kali memasuki negara ini serta keluar dan masuk ke Singapura dan Thailand.

"Polis percaya suspek ditahan sejurus memecah masuk beberapa buah unit kediaman di kondominium itu," katanya, sambil menambah kata polis sedang mengesan sekiranya ada suspek-suspek lain melalui rakaman kamera litar tertutup./Bernama






















Bilal, Siak Terkejut, Mayat Bayi Di Tangga Masjid

KLANG: Seorang bilal dan siak Masjid Badariah Batu 12, Kapar di sini terkejut apabila mendapati bungkusan plastik hitam yang ditinggal di tangga masjid itu mengandungi mayat seorang bayi lelaki.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supt Mohd Shukor Sulong berkata kedua-dua mereka yang mahu membuat persiapan solat Subuh menemui mayat bayi berkenaan ditutup dengan kain lampin apabila membuka bungkusan tersebut.

"Apabila tiba di tempat kejadian kira-kira 6.30 pagi, kita (polis) mendapati bayi yang bertali pusat dan cukup sifat ditinggalkan di dalam bungkusan plastik.

"Pemeriksaan lanjut turut mendapati bayi itu sudah meninggal dunia," katanya di sini Khamis.

Mohd Shukor berkata mayat bayi itu kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran./Bernama

Khamis, 28 Jun 2012

Remaja didakwa bunuh pekerja kilang

Remaja didakwa bunuh pekerja kilang
Mohamad Zulfika (tengah) dengan tangan bergari dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Tumpat.
TUMPAT: Seorang remaja dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini kerana tuduhan membunuh seorang pekerja kilang, Mohd Al-Serendi Mat Rahim, 11 Jun lalu.

Tertuduh, Mohamad Zulfika Mohd Zaki, 19, dari Kampung Laut 1, di sini, menghadapi dakwaan tersebut sehingga menyebabkan kematian Mohd Al-Serendi , 26, pada 11 Jun lalu antara jam 9.30 malam hingga 9.45 malam di Simpang Empat, Kampung Laut 1, Palekbang, di sini.

Mohamad Zulfika kelihatan tenang ketika pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri, manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya, Ahmad Salam Yusof.

Tertuduh dilihat mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan. Mahkamah menetapkan 30 Julai untuk sebutan semula kes tersebut di mahkamah yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Sinar Harian 13 Jun lalu melaporkan seorang pekerja kilang maut ditikam dengan senjata tajam dipercayai sebilah keris ketika cuba menyelesaikan kes pergaduhan melibatkan saudaranya di Kampung Laut.

Mangsa, Mohd Al - Serenadi ditikam oleh seorang remaja lelaki berusia 19 tahun akibat cuba masuk campur menyelesaikan kes saudaranya ditampar berkaitan kejadian menunggang motosikal laju.

Mangsa yang berasal dari Kampung Berlian, di sini, mengalami kecederaan parah di dada kanan akibat terkena tikaman itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tumpat.

Bagaimana pun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital terbabit./sinarharian

Rabu, 27 Jun 2012

Tiga beranak maut dipercayai terjun bangunan

Seorang lelaki Pakistan dan dua anaknya ditemui mati dipercayai terjun dari tingkat 21 kondominium Langat Jaya, di Batu 9, Cheras di ibunegara semalam.

Mayat Ismail Khan, 39, dan anak lelakinya Mohd Faizal, 9, serta anak perempuannya Aqsa Khan Ismail Khan, 6, ditemui pada pukul 8.30 malam oleh seorang pengawal keselamatan kondominium itu.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ab. Rashid Ab. Wahab berkata Ismail yang telah tiga tahun menganggur sering bergaduh dengan isterinya.

"Isterinya yang tinggal berasingan dan bekerja sebagai eksekutif kanan telah failkan perceraian pada tahun lepas dan kes itu akan dibicarakan pada Ogos," katanya.

Beliau berkata Ismail yang tinggal di tingkat lima kondominium itu dipercayai membawa dua anaknya ke tingkat paling tinggi bangunan berkenaan sebelum terjun kerana beg sekolah seorang daripada anaknya ditemui di situ.

"Isteri mangsa pernah buat laporan polis pada tahun lepas yang mengatakan suaminya pernah bawa anak-anak ke tingkat 21 untuk cuba bunuh diri," katanya./Bernama

Selasa, 26 Jun 2012

Lelaki dihukum mati bunuh wanita enggan kahwininya

Seorang tukang masak dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Alor Star hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang wanita yang enggan berkahwin dengannya tahun lepas.

Othman A. Aziz, 61, dijatuhkan hukuman itu selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes itu.

Dalam penghakimannya, Mohd Zaki berkata berdasarkan keterangan pakar patologi, terdapat 26 luka tikaman dan empat luka hirisan pada bahagian dada dan belakang mangsa.

"Luka tikaman itu menembusi organ dalaman si mati dan tertuduh mempunyai niat untuk membunuh si mati. Jadi mahkamah tiada pilihan lain selain menjatuhkan hukuman mati terhadap tertuduh mengikut peruntukan undang-undang iaitu Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Mengikut pertuduhan, Othman didakwa membunuh Ratna Sufizzahriyanti Omar, 23, di dalam sebuah bilik bernombor G 12 di rumah nombor 1926H, Taman Mahkota, Jalan Stadium di Alor Star antara pukul 8.45 malam 2 Mei 2011 hingga 12.45 pagi 3 Mei 2011.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Othman yang merupakan bapa kepada dua orang anak dalam rayuannya memohon maaf kepada isteri dan anak-anaknya serta keluarga mangsa.

"Saya mohon mahkamah pertimbangkan rayuan kes saya dan saya insaf dengan apa yang telah terjadi. Saya juga mohon agar mahkamah mempertimbangkan supaya saya boleh menjalani hukuman penjara di Selangor kerana keluarga saya berada di sana," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nor Hasnita Wan Daud manakala tertuduh diwakili peguam A. J. Surinarayanan./Bernama

Wanita dibakar teman lelaki meninggal dunia

Wanita yang parah dibakar teman lelakinya selepas bertengkar di sebuah rumah di flat Taman Segar, Cheras, Jumaat lepas, meninggal dunia hari ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata wanita berusia 23 tahun itu meninggal dunia pukul 12.50 tengah hari di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) selepas melecur teruk 90 peratus.

"Sehubungan itu, polis menahan reman teman lelakinya berusia 35 tahun itu sehingga Jumaat (29 Jun) untuk disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Teman lelaki wanita itu, yang ditahan pada hari kejadian, turut melecur di tangan dan dirawat di PPUKM.

Kejadian pada jam 3 pagi itu disedari jiran mangsa setelah mendengar jeritannya sebelum mendapati ruang tamu rumah berkenaan musnah terbakar./Bernama

Abang tiri tukul adik pecah rahsia

DUNGUN: Seorang gadis dibelasah abang tirinya dengan tukul besi selepas dia menceritakan perbuatan jahat abang tirinya itu yang merogolnya sebelum itu, dalam kejadian di sebuah kampung di Paka, dekat sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, mangsa yang berusia 18 tahun itu dipukul oleh abang tirinya berusia 26 tahun dengan menggunakan objek keras sehingga dia mengalami kecederaan di kaki dan pinggangnya.

Sebelum itu, pada Selasa lalu, mangsa dikatakan duduk bersendirian di rumahnya sebelum abang tirinya itu membawa pulang beberapa rakannya ke rumah untuk menghisap dadah.

Mangsa dikatakan tidak menghiraukan perbuatan abang tirinya bersama rakannya yang lain sebelum memasuki bilik untuk tidur.

Pada kira-kira jam 10.40 malam, suspek dikatakan masuk ke dalam bilik mangsa yang ketika itu sedang tidur sebelum bertindak merogolnya dan mengugut mangsa supaya tidak membongkar perbuatannya itu kepada ibunya.

Selepas beberapa hari merahsiakan kejadian itu, ketika berada di kedai runcit ibunya, mangsa yang tidak tahan diperlakukan seperti pemuas nafsu perbuatan jahat abangnya itu, menceritakan perkara itu kepada ibunya.

Suspek yang juga seorang penganggur mengetahui perbuatan jahatnya itu sudah terbongkar naik berang dan dia pulang ke rumah sebelum bertindak membelasah adik tirinya itu dengan objek keras.

Berikutan kejadian itu, mangsa kemudiannya ke Balai Polis Paka, pada hari sama untuk membuat laporan dan polis yang menerima laporan kemudiannya ke rumah suspek dan berjaya menahannya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan./hmetro