Ahad, 4 Mac 2012

Parah diserang tiga lelaki

Darah
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki cedera parah selepas diserang sekumpulan lelaki ketika sedang berehat di rumahnya, semalam.

Mangsa, N Damutharan, 50an, diserang tiga lelaki yang bertindak berani memanjat pagar rumahnya di Taman Sri Skudai, di sini, sebelum menyerang lelaki berkenaan.

Ketua Polis Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu, mangsa ketika kejadian tinggal keseorangan di rumah.

“Kami menerima laporan daripada salah seorang jiran yang mendengar kekecohan datang dari rumah mangsa sekitar jam 11.30 pagi.

“Mangsa mengalami kecederaan parah pada anggota badannya kerana ditetak beberapa kali di bahagian kepala, badan dan tangannya,” katanya.

Ruslan berkata, mangsa dibawa ke Hospital Pakar Kempas untuk mendapatkan rawatan susulan berikutan kecederaan serius yang dialami.

“Polis kini sedang menyiasat motif serangan berkenaan dilakukan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya

Justeru, katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diharapkan dapat menghubungi hotline polis di talian 07-2212999 atau membuat laporan di balai berdekatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan