KUALA LUMPUR: Seorang pekerja pembersihan tidak menyangka sekujur tubuh kecil yang ditemuinya ketika membersihkan perangkap sampah di sebuah tasik di pusat rekreasi Taman Metropolitan di Kepong di sini hari ini adalah mayat seorang bayi lelaki.
Rafu'si Ahmad, 40, berkata, pada mulanya beliau menyangka bayi cukup sifat itu yang ditemui kira-kira pukul 11 pagi tadi dalam perangkap sampah sedalam tiga meter itu, adalah anak patung namun sangkaannya meleset apabila mengangkatnya keluar dari longgokan sampah dalam perangkap itu.
"Ketika mengangkatnya, saya terkejut apabila mendapati itu adalah mayat bayi lelaki setelah melihat tali pusat dan kakinya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, bahagian kepala bayi itu remuk dipercayai akibat terhantuk pada dinding longkang konkrit semasa dihanyutkan air.
"Kami percaya bayi itu dibuang kurang dari 24 jam lepas," katanya.
Mayat bayi itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran, katanya./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan