JOHOR BAHRU: Seorang warga emas dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah membunuh bekas isterinya pada Mac tahun lepas.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan Mesnayo Longdi, 69, membunuh Demeh Tinak, 44, kerana cemburu.
"Sepatutnya tertuduh tiada hak untuk mempunyai perasaan cemburu ke atas mangsa kerana sudah berpisah dengan mangsa.
"Mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas pertuduhan kes itu, dan dengan ini, mahkamah mendapati kamu bersalah,” katanya.
Mesnayo, yang merupakan warga Indonesia, tetapi sudah memperoleh taraf penduduk tetap, kelihatan tergamam apabila Abdul Halim menjatuhkan hukuman itu terhadapnya.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di rumah sewa mangsa di Jalan Seniman 2, Kampung Seri Serdang, Batu 6, Tampoi pada 2.40 petang, 16 Mac tahun lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan