Ahad, 4 Disember 2011

Suri rumah diraba warga asing

Suri rumah diraba warga asing
SHAH ALAM: “Setiap kali saya singgah di stesen minyak tersebut, pekerja warga asing itu akan cuba mengambil kesempatan menyentuh saya sehingga pernah mengenai bahagian dada saya ketika itu kononnya mahu bermain dengan anak saya,”.

Demikian menurut seorang suri rumah, dikenali sebagai Rashiha, 32, yang menjadi mangsa raba seorang pekerja warga asing sebuah stesen minyak di sini.

Menurutnya, pada mulanya dia memaklumkan kepada suaminya berhubung hal tersebut namun suaminya tidak percaya dengan apa yang berlaku.

“Pada 18 November lalu, sekali lagi saya bersama suami dan anak singgah ke sana dan ketika suami saya mahu isi gas, pekerja warga Bangladesh itu mendekati bahagian tempat duduk saya dan mengetuk tingkap serta cuba membuka pintu kereta yang berkunci.

“Anak saya membuka kunci pintu dan lelaki tersebut membuka pintu kereta lalu mengambil anak saya kononnya mahu bermain dengannya, namun ketika itu dengan sengaja dia telah menyentuh badan saya seperti mana yang dia pernah buat sebelum itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Terkejut dengan tindakan berani lelaki tersebut, Rashiha kemudiannya menjerit memanggil suaminya membuktikan kebenaran tentang apa yang diberitahu berlaku sebelum ini.

“Apabila suami saya bertanya kepada pekerja stesen minyak tersebut kenapa dia lakukan perkara itu, pantas lelaki tersebut merayu memohon maaf,” katanya.

Sementara itu, suami mangsa, Ahmad (bukan nama sebenar) berkata, tindakan lelaki tersebut melampau kerana berkali-kali cuba melakukan hal sama sehingga menimbulkan rasa tidak puas hatinya.

Katanya, warga Bangladesh itu kemudiannya menawarkan pengisian gas percuma kepadanya agar perkara tersebut diselesaikan begitu sahaja, namun ditolak.

“Isteri saya kemudiannya membuat laporan polis dan pekerja stesen minyak tersebut telah ditahan dan difahamkan kertas siasatan sudah dibuka.

“Bagaimanapun pihak agensi pekerja asing berkenaan bertindak menghubungi saya untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah, namun sehingga kini masih berdolak-dalik membuatkan saya mengambil keputusan meneruskan tindakan mahkamah,” katanya./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan