Sabtu, 24 Disember 2011

Suami jaga anak, isteri khalwat di hotel

GEORGETOWN: Terpedaya dengan janji manis dan pujukan manja teman lelaki untuk bermalam di hotel, seorang ibu enam anak menerima padah apabila ditahan kerana disyaki berkhalwat di Seberang Jaya, Seberang Prai Tengah (SPT), awal pagi kelmarin.

Lebih mengejutkan, ketika ditahan wanita berusia 44 tahun itu memberitahu dia masih berstatus isteri orang malah suaminya sedang menjaga anak mereka di rumah ketika dia keluar.

Wanita itu antara sembilan pasangan yang ditahan atas dua kesalahan iaitu berkhalwat dan berkelakuan kurang sopan di tempat awam di beberapa lokasi sekitar Butterworth dan Seberang Jaya.

Operasi cegah maksiat itu membabitkan sepasukan pegawai penguat kuasa, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) diketuai Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan.

Khairul Azman berkata, dalam pemeriksaan itu, wanita terbabit memberi alasan dia menghadapi masalah dengan suaminya selepas melayari alam rumah tangga selama 29 tahun serta mengenali teman lelakinya sejak setahun lalu.

Beliau berkata, wanita itu memberitahu teman lelakinya mengajak tidur di hotel sedangkan mereka sebelum itu hanya berjumpa untuk makan.

“Suspek lelaki yang berusia 45 tahun itu turut mengakui dia mengetahui teman wanitanya sudah berkahwin.

“Lebih memeranjatkan, lelaki itu turut mengaku isterinya yang berusia 25 tahun sarat mengandung lapan bulan malah mengenali suami teman wanitanya yang bekerja sebagai penjual barang lusuh,” katanya.

Khairul Azman berkata, kedua-duanya bersama pasangan lain berusia antara 20 hingga 40-an ditahan sebelum dibawa ke Pejabat Penguat kuasa JHEAIPP Daerah Butterworth untuk diambil keterangan.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 27(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 iaitu berkhalwat dan sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pasangan yang ditahan atas kesalahan berkelakuan kurang sopan, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 29 enakmen sama yang mana sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan