Khamis, 14 Julai 2011

Didakwa rogol gadis sama

AYER KEROH: Dua lelaki yang saling tidak mengenali satu sama lain dituduh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, dekat sini semalam kerana merogol seorang gadis bawah umur yang sama, tiga tahun lalu. 

Tertuduh, Nur Isfarhan Zarif, 22, dan Mohamed Shahril Idris, 23, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas faham pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Abu Bakar Katar. 

Nur Isfarhan dari Peringgit, di sini dituduh merogol seorang remaja berumur 15 tahun di sebuah rumah di Kampung Peringgit pada Ogos 2008 antara 12 tengah malam dan 1 pagi. 

Manakala Mohamed Shahril dari Krubong dituduh merogol remaja sama di sebuah rumah di Kilometer 16 Kampung Krubong, kira-kira 5 petang pada 29 Mei 2008. 

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. 

Timbalan Pendakwa Raya, Haslida Isamail, meminta mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap setiap tertuduh. 

Nur Isfarhan bagaimanapun, merayu kepada mahkamah supaya jaminan dikurangkan dengan alasan dia tidak mempunyai kerja tetap serta kini menyara seorang isteri yang sarat mengandung lapan bulan. 

Sementara Mohamed Shahril yang diwakili peguamnya, Loh Chon Mee, ketika rayuan memohon mahkamah mengurangkan jaminan kerana tertuduh tidak mempunyai pekerjaan dan bapanya hanya bekerja kampung. 

Selepas mendengar rayuaan tersebut, Abu Bakar membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 terhadap setiap tertuduh selain menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 16 Ogos depan dan memerintahkan kedua-dua kes tersebut dibicarakan bersama./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan