Khamis, 29 November 2012

2 buruh dipenjara 20 tahun kerana menyebabkan kematian

 2 buruh dipenjara 20 tahun  
Dua warga India yang dihukum penjara 20 tahun dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Johor Bahru, semalam.
JOHOR : Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun ke atas dua buruh warganegara India kerana menyebabkan kematian seorang buruh warga Indonesia, tahun lalu.

Rashpall Singh, 26, dan Varinder Singh, 24, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah atas tuduhan pindaan menyebabkan kematian Nurdain bernombor pasport S 559327 di Wong & Wong Construction, Lot 3526, Jalan Bukit Kempas 3, Taman
Bukit Kempas di sini, kira-kira pukul 12.30 pagi, pada 4 April 2011.

Kedua-dua tertuduh yang berasal dari Punjab, India membuat pengakuan itu mengikut pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda.

Mereka sebelum ini didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman tersebut mulai tarikh ditahan pada 4 April 2011.

Dalam keputusan penghakimannya, Abdul Halim menasihatkan kedua-dua tertuduh supaya memikirkan kesan atas setiap tindakan yang dilakukan.

“Anda datang ke negara ini untuk mencari rezeki. Justeru, jadikan ini sebagai satu pengajaran agar lebih berhati-hati pada masa hadapan,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Iskandar Ahmad manakala Rashpall diwakili peguam Norman Fernandez sementara Varinder oleh Remesh Vasen./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan