Rabu, 22 Jun 2011

Keputusan tambah tempoh penjara kekal

PUTRAJAYA: Tiga lelaki gagal mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menambah tempoh hukuman penjara dan jumlah sebatan masing-masing bagi kesalahan merogol remaja perempuan berumur 17 tahun kira-kira lapan tahun lalu selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka.

Kamarulariffin Abdullah, 31, perlu menjalani hukuman penjara 15 tahun dan lapan sebatan. Adiknya Mohd Nordin, 27, dihukum penjara 15 tahun dan enam sebatan.

Kedua-dua mereka akan mula menjalani hukuman itu dari 28 September tahun lepas iaitu pada tarikh Mahkamah Tinggi menolak rayuan mereka dan membenarkan rayuan balas pihak pendakwaan untuk menambah tempoh hukuman penjara.

Sementara itu, Abdul Samad Din, 30, dihukum penjara 16 tahun dan 10 sebatan.

Hukuman penjaranya bermula 31 Mei, 2006, iaitu pada hari dia didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen.

Ketiga-tiga mereka dihadapkan ke mahkamah secara berasingan tetapi dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen.

Mereka didapati bersalah merogol gadis berumur 17 tahun di tepi kawasan lombong di Puchong Utama, Puchong antara 2.30 pagi hingga 4 pagi pada 16 Ogos, 2002./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan