Sabtu, 18 Jun 2011

Dipenjara 12 bulan cabul remaja

GEORGETOWN: Seorang warga Bangladesh dipenjara 12 bulan kerana mencabul kehormatan seorang remaja 15 tahun dengan memegang buah dadanya. 

Md Rasel, 30, dari Jalan Pisang, Air Itam didapati bersalah menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan dengan menyentuh buah dada dan badan mangsa di sebuah kedai di Lebuh Melaka kira-kira jam 8 malam, 3 Jun lalu. 

Mengikut fakta kes, Md Rasel memasuki kedai berkenaan lalu memegang buah dada mangsa. Ketika itu, mangsa dalam keadaan tergamam dan tidak menunjukkan apa-apa tindak balas. 

Melihat keadaan mangsa yang tidak melawan, tertuduh sekali lagi memegang buah dada mangsa dengan kedua-dua belah tangannya. Bagaimanapun, mangsa mula sedar kelakuan lelaki itu dan bertindak menolak tangannya namun tidak berjaya. 

Setelah beberapa kali menolak, akhirnya tertuduh melepaskan pegangannya dan terus beredar. Mangsa terus menghubungi ibunya yang kemudian menghubungi suaminya dan majikan tertuduh. 

Mangsa bersama ibu bapanya selepas itu membuat laporan polis dan tertuduh ditahan untuk siasatan. 

Timbalan Pendakwa Raya, S Selvaranjini mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan. 

Pertuduhan dibaca jurubahasa Bangladesh di hadapan Majistret Noor Aini Yusof. 

Dalam rayuannya, Md Rasel meminta hukuman ringan kerana hanya bekerja sebagai pekerja kontrak yang mempunyai purata pendapatan RM600 sebulan. Dia sudah berkahwin mempunyai seorang anak yang perlu ditanggung, selain enam ahli keluarga lain. 

Selvaranjini bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal ,kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius dan melibatkan mangsa yang baru berusia 15 tahun. 

“Perilaku tertuduh menjatuhkan maruah seorang remaja dan menyebabkan mangsa trauma walaupun tiada kecederaan dalaman terhadap mangsa,” katanya./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan