Rabu, 29 Jun 2011

Pelajar lelaki tingkatan enam maut terjun bangunan sekolah

KUALA LUMPUR: Akibat ditegur oleh guru kaunseling, seorang pelajar lelaki Tingkatan Enam sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Kajang dekat sini bertindak nekad terjun dari tingkat empat bangunan sekolah itu pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 9.20 pagi itu, Nge Hao Zheng, 18, ditemui mati di tepi bangunan sekolah itu dengan kepala dan badannya berlumuran darah.

Seorang guru sekolah itu yang enggan dikenali berkata, pelajar terbabit sebelum itu dilihat berjumpa dengan seorang guru kaunselor untuk berbincang mengenai aduan seorang pelajar perempuan.

"Hao Zheng dipanggil oleh guru kaunselor itu selepas pelajar perempuan tersebut mengadu bahawa Hao Zheng telah melanggar bahunya semalam. Ketika kaunseling diberikan, Hao Zheng tidak menunjukkan tingkah laku yang pelik dan kelihatan tenang," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, Hao Zheng kemudiannya dilihat keluar daripada bilik kaunseling itu sebelum memanjat tembok di kaki lima bangunan itu dan bertindak terjun.

"Tiada sesiapa yang sempat menghalang pelajar itu terjun...kejadian itu membuatkan semua pelajar takut dan sesi persekolahan tergendala seketika sebelum segalanya kembali seperti biasa," katanya.

Mayat Hao Zheng kemudian dihantar ke bilik mayat Hospital Serdang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang ACP Abdul Rasyid Abdul Wahab ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan berhubung kes tersebut.

"Setakat ini kes itu masih dalam siasatan dan kita klasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan