Selasa, 22 Mac 2011

Pasangan setan samun nenek

GOMBAK: Dia layak digelar gadis setan apabila bersama-sama teman lelakinya bertindak kejam mengikat seorang nenek berusia 60-an dan membelasah mangsa dalam kejadian samun di rumahnya, di Kampung Koskan, Rawang, dekat sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, gadis berusia 20-an terbabit bersekongkol dengan teman lelakinya memecah masuk rumah mangsa melalui pintu belakang sebelum melarikan barang kemas dianggarkan bernilai RM30,000 serta wang tunai RM1,700.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa yang tinggal berseorangan terkejut apabila dua individu tidak dikenali masuk ke dalam rumahnya dan bersenjatakan parang.

Menurut sumber, gadis terbabit bersama pasangannya mengumpil pintu belakang sebelum bertindak mengugut nenek terbabit supaya tidak menjerit.

“Mangsa yang berseorangan hanya mampu berdiam diri selepas diacukan parang dan merayu supaya tidak diapa-apakan.

“Suspek mengarahkan mangsa duduk sebelum mengikatnya sambil memukul mangsa menyebabkan dia cedera di muka,” katanya.

Sumber berkata, akibat kudratnya yang sudah tua, nenek terbabit hanya mampu berdiam diri dan tidak melawan kerana bimbang dirinya diapa-apakan.

“Selepas mengikat mangsa, pasangan terbabit menyelongkar kediaman itu dan menjumpai barangan kemas yang disimpan dalam bilik tidur.

“Selain itu, pasangan terbabit turut mengambil wang tunai RM1,700 sebelum melarikan diri menaiki motosikal,” katanya.

Menurut sumber, lebih menyedihkan mereka turut membiarkan nenek terbabit dalam keadaan terikat dan berdarah.

“Mujur cucu mangsa pulang ke rumah dan menjumpai neneknya itu.

“Cucunya terkejut apabila masuk ke rumah selepas melihat neneknya yang sudah lemah dalam keadaan terikat sebelum membuat laporan di Balai Polis Rawang,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan kes terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan (KK)./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan