Sabtu, 26 Mac 2011

Kasih anak, sanggup jamin ayah dituduh merogol

KUALA TERENGGANU: Kasih seorang anak! Walaupun masih bergelar penuntut, namun disebabkan tidak sanggup melihat bapa kandung meringkuk di penjara atas tuduhan merogol, seorang anak sanggup menjadi penjamin dengan membayar wang jaminan sejumlah RM10,000 setelah dibenarkan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam. 

Sebelum ini, pada 17 Mac lalu, tertuduh, Mohd Fauzi Anang, 59, dari kampung Wakaf Tengah tidak dibenarkan diikat jamin selepas ahli keluarganya gagal menghadirkan diri semasa pertuduhan dijalankan. 

Namun, Hakim Tuan Mohd Azman Mustapha semalam membenarkan anak kepada ‘tok bomoh’ yang dituduh merogol seorang guru tadika berumur 29 tahun pada 7 Mac lalu selepas mengambil kira pengakuan tidak bersalah atas tuduhan itu. 

Selain itu, Tuan Mohd Azman turut mempertimbangkan permohonan peguam bela tertuduh, Datuk Mohd Hakimi Abdul Kadir yang memohon agar tertuduh dibenarkan diikat jamin selepas mengambil kira faktor usia dan juga kesihatan tertuduh semakin uzur. 

Pertuduhan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya, Chooi Ooi Goik dan hakim menetapkan 18 April sebagai tarikh perbicaraan. 

Mengikut pertuduhan sebelum ini, pada 7 Mac lalu jam 12 tengah malam di kampung Seberang Tepoh, tertuduh dituduh merogol seorang guru tadika di dalam sebuah bilik di kediaman ‘tok bomoh’ berkenaan ketika sedang merawat mangsa selepas mendakwa terkena buatan orang. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 30 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan