Khamis, 31 Mac 2011

Perut lelaki warga Nepal terburai dalam serangan

KULAIJAYA: Seorang lelaki warga negara Nepal terburai isi perut akibat diserang sekumpulan lelaki selepas membawa seorang wanita tempatan ke rumah kosong di Taman Senai Jaya, Senai, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.50 pagi itu, Chandradrika Ray, 27, maut di tempat kejadian akibat parah manakala penyerangnya melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Komisioner Zulkefley Yahya, berkata Chandradrika ke rumah kosong berkenaan bersama teman senegara dikenali sebagai Arvin Prasad, berumur 20-an.

“Kedua-duanya dipercayai diserang sekumpulan lelaki menggunakan senjata tajam. Chandradrika dikelar di perut manakala Arvin parah ditikam di belakang badannya,” katanya.

Menurut Zulkefley, orang awam yang menyedari kejadian itu menghubungi polis dan Arvin dikejarkan ke Hospital Kulai untuk rawatan dan keadaannya kini stabil.

Mayat Chandradrika pula ditemui di sebuah di rumah berkenaan dan siasatan mendapati kedua-dua mangsa rakan sekerja di sebuah kilang plastik di Senai.

“Motif kejadian masih disiasat dan kami menerima bantuan Unit Anjing Pengesan (K-9) untuk mengesan senjata pembunuhan serta bukti lain di tempat kejadian.

“Ketika ini belum ada tangkapan dibuat, tetapi keterangan beberapa individu sudah direkodkan untuk membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan