Khamis, 20 September 2012

Pekerja kedai kopi mati ditikam

SEREMBAN - Mayat seorang lelaki ditemui di kawasan lorong belakang antara Jalan Utam Singh dan Jalan Kong Sang di sini pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Saiful Azly Kamaruddin berkata siasatan awal mendapati lelaki berumur antara 55 dan 60 tahun itu dipercayai warga tempatan.

"Polis menerima panggilan orang awam pada pukul 5.30 pagi dan ketika dijumpai, terdapat kesan tikaman di dada mangsa.

"Mangsa dijumpai dalam keadaan lengkap berpakaian dan identitinya tidak dapat dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui. Polis turut menjumpai wang tunai RM36 dalam dalam kocek seluar mangsa. Difahamkan mangsa adalah seorang pekerja kedai kopi di kawasan itu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Katanya pada kira-kira pukul 5.10 pagi, pemilik sebuah kedai makan berhampiran mendengar jeritan dan apabila anaknya keluar untuk melihat, dia mendapati tiga lelaki sedang mengerumuni mangsa.

"Ketiga-tiga suspek kemudian melarikan diri dari arah berasingan. Bagaimanapun, tindakan pantas pemilik kedai makan dan anaknya serta beberapa orang pelanggan berjaya menangkap seorang daripada suspek tersebut.

"Suspek yang ditangkap adalah seorang rakyat asing berumur 40-an. Kita turut menjumpai pemutar skru daripada suspek. Polis kini sedang mengesan dua lagi suspek berkenaan," katanya.

Saiful Azly berkata mayat dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bersabit membunuh./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan