Rabu, 5 September 2012

Anak suspek bunuh rindukan ayah

Kamariah melihat anaknya, Adawiah (kiri) menunjukkan gambar ayahnya yang tertera pada kad nikah mili
Kamariah melihat anaknya, Adawiah (kiri) menunjukkan gambar ayahnya yang tertera pada kad nikah milik ibu bapanya kepada kakaknya, Maisarah.
MERLIMAU: “Kakak rindu ayah. Kakak nak ayah belikan jajan,” kata Maisarah Khairul, 4, anak sulung suspek kes bunuh di Kampung Serkam Pantai, di sini, pada 22 Ogos lalu.

Ibu Maisarah, Kamariah Ahmad, 43, berkata, selain Maisarah, adiknya, Adawiah, 2, turut rindukan bapa mereka, Khairul Nordin, 41, yang menghilangkan diri sejak kejadian pada malam hari raya keempat itu.

“Saya merayu kepada suami supaya menyerah diri kepada polis demi anak-anak yang sememangnya rapat dengannya.

“Selain saya sendiri berdoa, saya juga mohon suami tidak putus harap dengan ALLAH selepas apa terjadi,” katanya.

Menurutnya, selagi suaminya masih bebas, pergerakannya juga terbatas selepas dinasihatkan polis untuk tidak ke mana-mana demi keselamatan dirinya dan anak-anak.

“Sebelum ini, saya ada jalankan perniagaan francais atas nama suami di Seremban. Namun, ia terpaksa ditutup dan hanya dibenar beroperasi selepas kes suami selesai.

"Kereta yang biasa saya gunakan dilarikan suami walaupun ditemui polis, namun tidak boleh saya ambil semula kerana menjadi barang kes," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Kamariah berkata, dia juga kini hilang punca pendapatan sehingga menyukarkan dia membesarkan anak-anaknya itu.

"Saya ada hasrat untuk cari kerja tetapi selagi suami saya bebas, saya tak boleh ke mana-mana," katanya.

Menurutnya, selepas terputus hubungan dengan suaminya itu, dia kini bergantung harap dengan seorang lagi abangnya, Idzhar, 48, yang banyak membantu dalam segala urusan.

Menurutnya, dia kini benar-benar memerlukan bantuan moral dan kewangan untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

Dalam kejadian 22 Ogos lalu, Khairul dikatakan menikam abang iparnya, Rashid Ahmad, 46, pada hari keempat Hari Raya Aidilfitri.

Kejadian berlaku di rumah ibu Rashid di Kampung Serkam Pantai, di sini, dikatakan berpunca daripada mangsa menegur suspek yang sering memukul isterinya, Kamariah iaitu adik Rashid./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan