Khamis, 20 September 2012

Suspek kes culik operator kilang ditahan


Suspek kes culik operator kilang ditahan
Abd Razak (kanan) menunjukkan barang dan wang tunai yang dirampas selepas penahanan dua lelaki terbabit.
SERDANG: Dua lelaki masing-masing seorang pengusaha kedai makan yang juga anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Selangor dan seorang warga Bangladesh antara suspek ditahan berhubung kes penculikan seorang operator kilang, di Klang Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, polis menerima maklumat berhubung kejadian daripada rakan mangsa yang mendakwa rakannya, warga Bangladesh berusia 20-an dilarikan dan menerima panggilan supaya sejumlah wang tebusan dimasukkan ke dalam satu akaun.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, rakan mangsa yang juga warga Bangladesh memberitahu menerima panggilan telefon, memintanya memasukkan wang berjumlah RM10,000 ke dalam satu akaun milik salah seorang suspek.

Katanya, setelah tawar menawar, suspek bersetuju mangsa dibebaskan sekiranya wang tebusan RM2,000 dimasukkan ke dalam akaunnya. Abd Razak berkata, mangsa kemudian dibebaskan di Seri Kembangan selepas dua hari dikurung dalam sebuah kontena di Pulau Indah Klang.

Katanya, mangsa membuat laporan dia turut dipukul menggunakan kayu di bahagian tangan dan belakang badan sehingga cedera dan lebam.

Bertindak atas laporan mangsa, beliau berkata, sepasukan anggota polis berjaya mengesan dan menangkap seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun di sebuah kedai makan di tapak pembinaan di Klang dengan wang bernilai RM1,925, Ahad lalu.

Katanya, lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes pecah rumah pada 2011.

Menurutnya, sebuah kereta jenis Proton Saga, sebuah motosikal , kamera dan telefon bimbit dipercayai digunakan dalam aktiviti penculikan terbabit dirampas. “Hasil siasatan polis berjaya menahan seorang lagi lelaki warga Bangladesh berusia 38 tahun yang merupakan rakan mangsa dipercayai terbabit dengan kes sama, keesokan harinya.

“Motif kes dipercayai bagi mendapatkan wang tunai dan kedua- dua lelaki itu direman sehingga Sabtu ini," katanya./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan