Khamis, 25 November 2010

Wanita Myanmar mati dijerut

KAJANG: Seorang wanita ditemui mati selepas dipercayai dijerut menggunakan wayar pengecas telefon bimbit dalam satu kejadian di projek perumahan di Alam Sari, di sini semalam.

Wanita dipercayai bekerja di projek perumahan itu ditemui mati dalam bilik tidurnya di rumah kongsi yang turut menempatkan beberapa pekerja lain.

Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 9 malam daripada salah seorang pekerja yang tinggal di rumah kongsi sama.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa dibunuh dengan cara dijerut sehingga lemas berdasarkan kesan lebam yang ditemui pada lehernya.

“Polis tidak menolak kemungkinan mangsa yang dipercayai warga Myanmar berusia lingkungan 30-an itu dijerut menggunakan wayar pengecas telefon bimbit.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa tidak mempunyai kecederaan lain.

“Terdapat beberapa kesan lebam di bahagian lehernya dipercayai akibat pergelutan antara mangsa dengan suspek,” katanya.

Harian Metro difahamkan berdasarkan pemeriksaan forensik, mangsa dipercayai tidak dirogol sebelum dibunuh berikutan tiada kesan air mani ditemui pada beberapa bahagian sensitif mangsa.

Bagaimanapun, beberapa kesan air mani ditemui pada tilam tempat lokasi mangsa dibunuh berkenaan malah berdasarkan maklumat yang diterima, polis mendapati mangsa mempunyai teman lelaki yang berasal dari negara sama yang dikenali sebagai Min Min.

“Kami (polis) difahamkan mangsa kali terakhir dilihat bersama temannya lelaki itu sebelum dia gagal dikesan sehingga kini,” katanya.

Polis turut menahan dua lelaki termasuk penyelia tapak pembinaan berkenaan yang berusia 24 tahun dan seorang pekerja lelaki warga Myanmar bagi membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pihak polis di talian 03-8736 2222,” katanya./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan