Jumaat, 26 November 2010

2 cedera kejar perompak

KUALA LUMPUR: Tindakan berani dua pekerja mengejar dua lelaki yang baru merompak sebuah kedai pengurup wang di tingkat dua sebuah gedung beli-belah di Jalan Chow Kit di sini, walaupun mengetahui perompak itu bersenjata membawa padah apabila seorang daripada mereka cedera parah manakala seorang lagi cedera ringan.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang semalam itu, dua lelaki berusia lewat 20-an yang masing-masing bersenjatakan sepucuk pistol dan parang itu dilaporkan menyusup masuk ke premis berkenaan dengan berlagak sebagai pelanggan sebelum menyerang penjaga kaunter kedai berkenaan dan berjaya melarikan RM200,000 dalam pelbagai bentuk mata wang.

Difahamkan, seorang daripada suspek melepaskan tembakan rambang untuk menakutkan pekerja premis itu, namun ia mengenai tangan seorang wanita yang sedang membeli-belah di kawasan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata sebaik mendapatkan wang itu, kedua-dua suspek melarikan diri, namun dikejar dua pekerja lelaki kedai berkenaan yang berusia lewat 20-an.

“Suspek yang berang dengan tindakan kedua-dua pekerja itu melepaskan tiga lagi das tembakan di laluan pejalan kaki di hadapan gedung beli-belah itu.

“Akibatnya kedua-dua pekerja terbabit cedera terkena tembakan dilepaskan suspek. Seorang terkena pada kaki kanan dan perut manakala rakannya pula pada paha,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Menurut Ku, semua saksi gagal mengecam wajah suspek kerana seorang daripada mereka memakai topi keledar manakala rakannya menutup wajah menggunakan kain.

“Kedua-dua suspek berjaya melarikan diri dan kerugian dianggarkan RM200,000 dalam pelbagai jenis mata wang,” katanya.

Ku berkata, sehingga kini keadaan seorang daripada mangsa dilaporkan parah manakala dua lagi hanya mengalami kecederaan ringan dan sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu diminta tampil membantu siasatan,” katanya./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan