REMBAU: Haruan makan anak. Itu yang mampu disimpulkan apabila seorang bapa kandung tergamak merogol anaknya sendiri yang ketika itu sedang menanggung sakit kaki bengkak susulan kemalangan.
Sinar Harian difahamkan, dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam itu, 22 Julai lalu, mangsa yang berusia 25 tahun berhadapan dengan detik hitam dalam hidupnya apabila bapanya berusia 57 tahun tergamak merogolnya.
Menurut sumber, suspek sebenarnya jarang pulang ke rumahnya di daerah ini, berikutan sudah berkahwin lain dan menetap di Teluk Intan, Perak.
Bagaimanapun, kira-kira seminggu sebelum kejadian iaitu sejak Isnin, suspek menetap bersama-sama mangsa.
“Ketika kejadian ibu dan adik lelaki mangsa turut berada di dalam rumah. Bagaimanapun, berikutan hari sudah lewat malam, kesemuanya dipercayai sudah tidur dan tidak menyedari apa yang berlaku kepada mangsa.
“Dipercayai, mangsa ketika itu berada di dalam biliknya dan sedang mengurut kaki yang bengkak susulan terbabit dalam kemalangan. Secara tiba-tiba, ayahnya datang dari arah belakang dan merogolnya,” katanya.
Sumber berkata, mangsa yang juga pekerja kilang tidak memberitahu ibunya mengenai kejadian itu dan membuat laporan terlebih dahulu bersama ibu saudaranya di Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau kira-kira 7 petang.
Menurutnya, selepas laporan dibuat, ibu mangsa baru dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan, sementara ayah mangsa pula bertindak pulang ke Perak sekitar jam 7 pagi hari sama laporan polis dibuat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Mizan Md Dom mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan kes itu masih dalam siasatan.
Menurutnya, suspek berjaya ditangkap sekitar jam 1 pagi tadi (semalam) di kediamannya di Teluk Intan, Perak dan direman selama enam hari.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 376, Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum selama 30 tahun serta dikenakan sebatan./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan