Keluarga Mohd Firdaus menunggu di unit Kecemasan HUSM, semalam.
KOTA BHARU: Seorang remaja berusia 20 tahun cedera di kepala dan beberapa bahagian badan selepas ditetak dengan senjata tajam, oleh seorang lelaki yang merompak kedai runcit milik ibu saudaranya berhampiran Pasar raya Bilal, di sini, semalam.
Ketika kejadian kira-kira jam 3 petang, itu berlaku ketika mangsa Mohd Firdaus Abdullah, didatangi dua lelaki yang menaiki motosikal bertanyakan mengenai rempah kari.
Mangsa kemudiannya dipercayai ditekup mulutnya dari belakang oleh salah seorang lelaki terbabit dan kedua-dua suspek bertindak melarikan sejumlah wang dalam mesin kira di kaunter selain komputer riba, jam, rokok dan beberapa barangan lain dalam kedai itu.
Ibu saudara mangsa yang dikenali Norizah, ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian berkata, Mohd Firdaus baru sahaja menjaga kedai terbabit sejak empat bulan lalu.
“Saya ambil di kerja untuk jaga kedai dan setakat ini dia seorang sahaja yang menjaga kedai ini memandangkan saya baru mengubah suai kedai kosmetik kepada kedai barangan runcit.
“Sebelum ini pun kedai ini pernah kena pecah masuk tapi hanya kehilangan barang dan tidaklah sampai kejadian seumpama ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu, kira-kira jam empat petang dan terus ke hospital bagi melihat keadaan anak saudaranya itu.
“Ini merupakan kejadian ketiga kedai di pecah masuk sepanjang tiga tahun menjalankan perniagaan di kawasan itu. Mujurlah dia (Firdaus) selamat walaupun mengalami kecederaan yang parah di beberapa bahagian badan dan kepala” katanya.
Norizah berkata, kerugian dianggarkan lebih RM5,000 termasuk wang tunai RM2,000 di samping barangan lain.
“Buat masa ini Firdaus dalam keadaan stabil dan dirawat di wad kecemasan sebelum dipindahkan ke wad biasa. Kejadian ini amat menakutkan dan saya tekad untuk membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan