KUALA TERENGGANU: Helah seorang pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah menengah berasrama di sini, untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana senggugut akhirnya terbongkar.
Setelah pemeriksaan dibuat, doktor mendapati pelajar tersebut baru sahaja melahirkan anak.
Dalam kejadian Selasa lalu, bayi perempuan yang dilahirkan kira-kira jam 1 pagi dalam tandas asrama sekolah berkenaan, disumbat di dalam beg galas sebelum disahkan meninggal dunia.
Bayi tersebut mempunyai kesan lebam di kepala, dipercayai terhantuk ketika proses kelahiran serta paru-paru dipenuhi air dan mengalami pendarahan teruk akibat tali pusat dipotong tidak betul.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, pelajar itu mendapatkan rawatan di HSNZ kira-kira jam 6 petang pada hari kejadian kerana mengalami sakit perut akibat senggugut. Tetapi selepas pemeriksaan dilakukan, doktor mendapati sakit dialami adalah kesan selepas melahirkan bayi.
“Doktor yang merawatnya terkejut lalu menyuruh pelajar berkenaan menceritakan kejadian sebenar dan setelah dipaksa, dia mengaku baru melahirkan seorang bayi perempuan dan menyimpan bayi itu di dalam beg galas, sebelum menyerahkan kepada salah seorang rakan perempuannya di sekolah itu.
“Tanpa membuang masa, pihak hospital terus menghubungi rakan dimaksudkan dan rakannya mengakui langsung tidak ketahui isi kandungan di dalam beg galas itu kerana tidak dimaklumkan kepadanya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.
Manoharan berkata, pihak hospital mengarahkan rakan pelajar itu membawa beg galas berkenaan ke hospital.
Menurutnya, pihak hospital menemui seorang bayi di dalam beg tersebut yang sudah meninggal dunia, sebelum membuat laporan polis.
“Susulan laporan dibuat, polis ke sekolah remaja berkenaan dan hasil pemeriksaan, polis berjaya menemui gunting yang dipercayai digunakan untuk memotong tali pusat bayi manakala urinya sudah dibuang ke dalam tong sampah.
“Mayat bayi malang berkenaan dihantar untuk dibedah siasat dan sehingga kini punca kematiannya masih belum diketahui. Tetapi pemeriksaan menemui kesan lebam di kepala dan air di dalam paru-paru, dipercayai akibat lemas dan pendarahan yang banyak kerana tali pusat dipotong tidak betul,” katanya.
Katanya, siasatan awal mendapati, pelajar itu mengaku bayi yang dikandunginya adalah hasil hubungan seks dengan seseorang dipercayai teman lelakinya yang dikenali sejak November tahun lalu.
“Dia turut mengaku menyembunyikan kehamilannya itu daripada pengetahuan ibu bapa, rakan, keluarga dan guru,” katanya.
Bagaimanapun katanya, sehingga kini polis masih gagal mendapatkan identiti lelaki itu kerana pelajar terbabit belum bersedia memberi kerjasama berikutan masih dalam keadaan lemah serta menerima rawatan di wad HSNZ.
“Kita akan menahan pelajar ini selepas dia sembuh nanti untuk disoal siasat bagi memburu lelaki yang menyebabkan dia hamil.
“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 309B membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga denda,” katanya./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan