Jumaat, 12 Oktober 2012

Pembunuh kekasih isteri rakyat Malaysia dakwa 'dirasuk syaitan' ketika kejadian

MELBOURNE: Seorang lelaki Indonesia yang membunuh kekasih isterinya dengan kejam, mendakwa 'dirasuk syaitan' ketika kejadian.

Hazairin Iskandar, yang didapati bersalah membunuh rakyat Malaysia Mohd Shah Saemin, memberitahu Mahkamah Agung New South Wales hari ini bahawa dia sedar telah melakukan 'satu dosa yang tidak terampun dalam Islam', lapor Australian Associated Press (AAP).

Hazairin turut memohon kemaafan daripada keluarga mangsa yang berasal dari Melaka, pada pendengaran hukuman di depan Hakim David Davies hari ini.

Mohd Shah, 43, seorang pemandu di Konsulat Malaysia, meninggal dunia selepas diserang Hazairin dan anak lelaki tertuduh, Andrew di luar pangsapuri mangsa di Leichhardt, Sydney pada malam 21 Feb 2010.

Andrew telah dihukum penjara 18 tahun kerana pembabitannya dalam pembunuhan itu.

Hazairin juga memberitahu mahkamah hari ini bahawa dia memaksa anaknya membunuh Mohd Shah.

Peguam James Trevallion kemudian menyoal sama ada Hazairin berbohong untuk menyelamatkan anaknya, yang mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu.

Hazairin berkata Andrew, yang gemar bersendirian serta tidak mempunyai rakan, marah kerana melibatkan anaknya itu dalam jenayah tersebut.

"Saya mencium kakinya dan memohon ampun kepadanya," katanya.

Pada perbicaraan kes itu, mahkamah mendengar keterangan bahawa Hazairin menikam Mohd Shah sekurang-kurangnya empat kali pada bahagian atas badan dengan sebilah pisau manakala anaknya membelasah mangsa berulang kali dengan tukul.

Dua beranak itu menyerang Mohd Shah selepas mengetahui isteri Hazairin iaitu Nita Iskander mempunyai hubungan sulit dengan mangsa.

Pendengaran hukuman bersambung esok./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan