Jumaat, 29 Jun 2012

Suami Isteri Didakwa Rompak, Cabul Ejen Hartanah

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Jumaat terhadap pertuduhan merompak dan mencabul seorang ejen hartanah, bulan lepas.

Wong Wai Kit, 33, dan How Sow Kim, 33, didakwa merompak wanita berusia 34 tahun itu di kediaman mangsa di Mont Kiara Palma, Brickfields pada 5 petang, 10 Mei lepas.

Dalam insiden itu, mangsa cedera dan kerugian RM70,000.

Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Wong turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat hendak mencabul mangsa di tempat dan masa sama, mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, denda atau sebatan, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli menawarkan jaminan RM25,000 terhadap Wong bagi kedua-dua pertuduhan manakala How sebanyak RM20,000masing-masing dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, pasangan itu yang tidak diwakili peguam, memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana mereka tidak bekerja dan perlu menyara dua anak berusia tujuh dan empat tahun serta ibu.

Hakim, Datuk Jagjit Singh Bant Singh kemudian membenarkan Wong diikat jaminRM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan manakala How sebanyak RM2,000 dan menetapkan 27 Julai untuk sebutan semula kes.

"Jaminan untuk How adalah munasabah memandangkan beliau mempunyai dua anakmasih kecil yang memerlukan beliau manakala Wong sebagai suami, dikenakan jaminan tinggi.

"Oleh itu, peluang Wong untuk tidak hadir ke mahkamah adalah lebih tipis," katanya./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan