ALOR SETAR: Akibat perselisihan faham, seorang wanita berusia 40-an lebam pada beberapa bahagian badan akibat dipukul menggunakan kayu hoki oleh suaminya yang gagal mengawal kemarahannya di Jalan Alor Mengkudu, di sini, Isnin lalu.
Kejadian berlaku jam 10.30 pagi apabila suami wanita itu yang berusia 40-an membenarkan isteri dan dua anaknya masuk semula ke dalam rumah selepas mengunci mereka di luar selepas berlaku pertengkaran antara pasangan terbabit.
Difahamkan, selepas dibenarkan masuk, pertengkaran antara mangsa dan suaminya semakin teruk sebelum lelaki itu dikatakan hilang sabar lalu berlari ke belakang rumah mereka dan mengambil kayu hoki yang disimpan di dalam stor.
Sumber berkata, sejurus itu, lelaki berkenaan datang menghampiri isterinya dengan memegang kayu hoki di tangan dan pada mulanya bertindak mengacah untuk memukul sebelum mengheret mangsa ke dalam bilik tidur mereka.
“Lelaki itu lebih ganas apabila mengheret isterinya ke dalam bilik sebelum memukul wanita itu bertubi-tubi menggunakan kayu hoki yang diambil di dalam stor sebelum itu,” katanya.
Menurutnya, akibat tidak tahan menanggung kesakitan dengan tindakan suaminya, wanita berkenaan menjerit sekuat hati dan menghalau lelaki itu yang kemudian bergegas keluar untuk melarikan diri.
Difahamkan, wanita berkenaan mengalami lebam di bahagian peha dan belakang termasuk bengkak di muka akibat pergaduhan dengan suaminya.
Wanita itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, kelmarin berikutan bimbang dengan keselamatan dirinya serta takut suaminya akan bertindak dengan lebih ganas.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Baharom Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian, berkata berdasarkan maklumat, pihak polis sudah menahan lelaki itu di sekitar bandar raya, pagi semalam.
“Kami akan mengemukakan permohonan reman terhadap suspek dalam masa terdekat untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes itu,” katanya.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 324, Kanun Keseksaan kerana perbuatan suspek yang sengaja mengakibatkan kecederaan terhadap mangsa./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan