Ahad, 24 Jun 2012

Wanita dipukul sebelum disamun ketika joging

MANJUNG: Aktiviti rutin berjoging seorang wanita bertukar tragedi apabila disamun seorang lelaki berhampiran kawasan Bukit Busu, di sini, semalam. Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa yang sedang turun dari bukit berkenaan telah ditegur seorang lelaki.

Menurutnya, mangsa yang tidak mempedulikan teguran itu bagaimanapun telah dipukul suspek dari arah belakang. “Mangsa seorang wanita berusia 46 tahun sedang berjoging di bukit berkenaan pada jam 7.30 pagi dan pada jam 8 pagi mangsa mahu turun semula dari bukit berkenaan.

“Semasa turun itulah suspek telah memukul mangsa dari arah belakang, pakaian mangsa dikoyak sebelum lelaki berkenaan melarikan dompet serta telefon bimbit mangsa,” katanya. Ahmad berkata, jeritan mangsa meminta tolong didengar orang awam sebelum membantu mangsa, bagaimanapun lelaki itu berjaya melepaskan diri dengan menaiki sebuah kereta.

“Hasil siasatan, kereta yang digunakan lelaki itu ditemui di Teluk Muroh. “Kita telah mengenal pasti suspek, usaha mengesan akan diteruskan hingga suspek berjaya dikesan,” katanya./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan