KUALA LUMPUR: Panggilan misteri daripada seorang wanita warga Indonesia kepada isteri seorang ejen pembantu rumah warga asing merungkai kejadian lelaki berkenaan ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di bilik tidurnya, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, Zulkifli Omar, 69, ditemui dalam keadaan terlentang dan bogel di atas katil dipercayai meninggal dunia beberapa jam sebelum itu.
Anak angkat mangsa, Fauziah Zulkifli, 42, berkata sebaik menerima panggilan daripada ibu angkatnya, Jamrah Tusop, 60-an, mengenai panggilan misteri itu, dia kemudian bergegas ke rumah mangsa di Kampung Selayang Baru.
Menurutnya, sebaik tiba di rumah itu, dia mendapati pintu pagar depan rumah tidak berkunci dan panggilan dibuat juga tidak bersahut.
“Jiran di depan rumah yang terdengar suara saya kemudian keluar dan memaklumkan bapa hanya pulang ke rumah kira-kira jam 10 pagi tadi (semalam) dan dua jam kemudian, seorang wanita warga Indonesia mencari ayah di depan rumah dipercayai untuk tujuan kerja.
“Selepas itu, wanita berkenaan terus meninggalkan kawasan rumah dan saya percaya dia adalah wanita sama menghubungi ibu angkat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
Katanya, bimbangkan keselamatan bapa angkatnya itu, dia kemudian masuk ke rumah bersama jirannya itu dan terkejut apabila mendapati mangsa sudah tidak bernyawa dalam keadaan terlentang di atas katil.
Menurutnya, dia kemudian menghubungi adik iparnya yang bergegas ke tempat kejadian sebelum membuat laporan di Balai Polis Selayang.
Katanya, kali terakhir dia menghubungi mangsa petang kelmarin dan ketika itu, arwah berbual seperti biasa dan tidak menunjukkan petanda mengalami sakit.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu, kira-kira jam 5.15 petang dan siasatan awal mendapati mangsa mati akibat dijerut dengan dawai elektrik.
Beliau berkata, mayat mangsa ditemui di atas katil di bilik belakang dalam keadaan bogel dan tiada kesan pecah masuk ditemui di mana-mana bahagian rumah mangsa.
Katanya, ketika kejadian, mangsa tinggal seorang diri di rumah manakala isterinya berada di Shah Alam dengan anaknya. “Pemeriksaan lanjut di rumah mangsa mendapati sebuah bilik lain dalam keadaan berselerak dan dua telefon bimbit serta dompet milik mangsa juga didapati hilang,” katanya./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan