Jumaat, 22 Jun 2012

Mangsa cinta tiga segi

SUNGAI PETANI: Polis menahan dua pengganggur bagi membantu siasatan kes bunuh seorang wanita pemilik butik perkahwinan yang mayatnya ditemui dalam longkang di tepi Jalan Persiaran Ambangan Heights, berdekatan Kompleks Mahkamah Sungai Petani, di sini semalam.

Kedua-dua lelaki yang berusia sekitar 20-an itu direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi melengkapkan siasatan kes bunuh itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hashim Ali berkata suspek ditahan oleh sepasukan polis sekitar bandar ini lewat petang semalam.

"Suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kes bunuh itu. Siasatan awal dan laporan bedah siasat menunjukkan mangsa telah ditikam berdasarkan kesan yang ditemui pada bahagian leher dan dada," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hashim berkata polis juga tidak menolak kemungkinan motif kejadian berpunca daripada cemburu.

"Bagaimanapun kami akan menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk unsur-unsur lain seperti samun dan sebagainya," katanya.

M. Revathi, 23, ditemui mati di dalam longkang di tepi Jalan Persiaran Ambangan Heights pagi semalam.

Mayat pemilik Rakshata Bridal House di Taman Ria di sini itu ditemui pukul 7.30 pagi oleh orang ramai dalam keadaan terlentang atas motosikal di longkang sedalam kira-kira 0.5 meter yang dipenuhi semak.

Mayat wanita itu ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian dengan kecederaan parah di leher dan dada./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan