BATU PAHAT: Luluh hati seorang bapa apabila mendapati bayi perempuannya yang berusia empat bulan dibunuh dengan cara mukanya ditekup dengan sesuatu sebelum mayatnya dicampak di celah-celah tumbuhan hiasan di kawasan Tasik Y di sini kelmarin.
Mayat Lim Xiu Yao yang dipercayai telah mati dibunuh sejak Rabu lalu ditemui oleh orang ramai yang sedang berjoging di kawasan itu pada pukul 7 malam.
Polis yang menjalankan siasatan kemudian menahan pengasuh mangsa yang merupakan ibu tunggal berusia 42 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pengasuh itu kini dirawat di Hospital Batu Pahat selepas dia patah kaki setelah mendakwa nekad terjun dari kereta sekumpulan penculik yang melarikannya ketika dia datang dengan membawa bayi berkenaan ke tasik terbabit bagi menampal iklan mengenai khidmat pengasuh.
Kejadian itu didakwa pengasuh berkenaan berlaku pada petang hari kejadian.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, polis masih menyiasat dakwaan suspek yang kini dikawal polis di hospital tersebut.
Katanya, rahsia itu terbongkar apabila bapa mangsa, Lim Aik Zheng, 38, yang merupakan penyelia kilang telah pergi ke rumah pengasuh itu di Taman Bandar di sini pada pukul 9 malam Rabu lalu untuk mengambil anaknya./kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan