Selasa, 26 Jun 2012

Wanita Islam 60 tahun turut jadi penari aksi ghairah di kelab malam

KUALA LUMPUR: Hanya dengan bayaran serendah RM40 sejam, 11 wanita beragama Islam sanggup menggadai maruah diri sebagai penari aksi ghairah di sebuah kelab malam di Sentul dan lebih memalukan ada di antara mereka sudah berusia 60 tahun.

Mereka ditahan Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dalam operasi malam kelmarin hingga awal pagi semalam yang turut melakukan serbuan ke tiga lagi premis hiburan, dua di Jalan Dooraisamy dan satu di Jalan Raja Chulan. Ketua Pegawai Penguat kuasa Jawi, Wan Jaafar Wan Ahmad berkata, operasi dari jam 10.30 malam hingga jam 2 pagi itu membabitkan 40 anggota penguat kuasa Jawi dengan kerjasama polis dan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Menurutnya, dalam serbuan di Sentul, pusat hiburan terbabit turut menyediakan bilik karaoke, selain persembahan tarian ghairah oleh 11 wanita beragama Islam yang ditahan itu.

“Selain menari, wanita terbabit turut menjadi pelayan pelanggan (GRO) dan mereka menerima bayaran serendah RM40. Pelanggan yang mahukan perkhidmatan seks pula perlu membayar sehingga RM200 berdasarkan persetujuan wanita itu,” katanya.

Menurutnya, 11 wanita terbabit dibawa ke pejabat Jawi untuk tindakan lanjut manakala seorang lagi wanita Indonesia dirujuk ke Jabatan Imigresen kerana gagal menunjukkan dokumen perjalanan.

Wan Jaafar berkata, sebelum itu dalam serbuan pertama, empat wanita berpakaian seksi yang sedang bersiap-siap untuk mempersembahkan tarian ghairah di sebuah pusat hiburan di Jalan Doraisamy, diberi notis amaran kerana melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam.

Difahamkan, mereka yang berusia antara 18 hingga 27 tahun menerima bayaran RM100 untuk mempersembahkan aksi tarian ghairah kepada pelanggan.

“Selain itu, pihak kami turut mengeluarkan notis pemberitahuan hadir ke Jawi kepada enam lelaki beragama Islam berusia 25 hingga 45 tahun kerana minum arak,” katanya.

Menurutnya, mereka dikenakan tindakan itu kerana melanggar Seksyen 19 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan