SELAYANG: Serbuan pasukan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak ke sebuah rumah mewah di Bukit Idaman Selayang, di sini, selepas menerima aduan penduduk mengenai aktiviti disko haram membongkar kegiatan pengedaran dadah pemilik kediaman itu apabila menemui pelbagai jenis bahan terlarang berkenaan dipercayai bernilai jutaan ringgit, awal pagi semalam.
Dalam serbuan jam 1 pagi, pasukan itu melakukan pemeriksaan di tempat kejadian selepas menerima aduan mengenai bunyi bising dan suasana riuh di rumah itu pada sebelah malam selain kerap dikunjungi orang ramai, baru-baru ini.
Menurut sumber, rumah teres terbabit disyaki menjadi pusat hiburan tanpa lesen sebelum sepasukan D7 dari IPD Gombak melakukan intipan, namun tidak menduga pemeriksaan lanjut dalam rumah itu akan menemui pelbagai jenis dadah, termasuk pil khayal.
“Ketika serbuan, polis menahan empat lelaki dan dua wanita berusia 20 hingga 40-an dipercayai sedang khayal di bawah pengaruh dadah.
“Pemeriksaan lanjut menemui bungkusan plastik lutsinar dipercayai dadah jenis ganja, sebelum soal siasat terhadap pemilik rumah berusia 40-an membawa polis ke satu lagi kediamannya di kondominium berhampiran,” katanya.
Sumber berkata, serbuan di kondominium yang turut dihuni anak suspek berusia 14 tahun itu kemudian menemui dua kotak pil Eramin 5 dan wang tunai RM60,000 dipercayai hasil kegiatan pengedaran serta alat penimbang.
“Suspek turut menunjukkan tempat dia menyimpan dadah dalam dua kereta mewah di tempat letak kenderaan kondominium itu dan pemeriksaan kemudian menemui pil Eramin 5 dan ketamin yang dibungkus dalam uncang teh.
“Semua suspek, termasuk remaja yang tidak bersekolah itu, dibawa ke IPD Gombak untuk tindakan lanjut,” katanya./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan