Isnin, 18 Jun 2012

Buruh binaan maut kena 3 das tembakan

KOTA BHARU: Seorang buruh binaan ditemui mati dipercayai akibat terkena tembakan, di sebuah tapak projek perumahan di Pengkalan Chepa di sini, malam tadi.

Mayat Mamat Omar, 58, yang berlumuran darah ditemui dalam keadaan tertiarap di hadapan stor pejabat syarikat perumahan itu oleh penyelia tapak projek berkenaan, Azizul Izwan Abdullah, 32, pada pukul 11.35 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu, ACP Azham Othman berkata, mangsa yang beralamat di Kampung Simpangan, Tumpat itu, baru dua bulan bekerja di tapak projek berkenaan sebagai tukang kayu.

"Terdapat kesan tembakan pada mangsa iaitu di pipi sebelah kanan, leher dan belakang kepala.

"Bagaimanapun, tiada kelongsong peluru ditemui di tempat kejadian dan dipercayai senjata digunakan adalah daripada jenis Revolver,” katanya melalui SMS di sini, hari ini.

Beliau berkata, kali terakhir mangsa dilihat ialah pada pukul 8 malam ketika berada di dalam biliknya di rumah kongsi berdekatan tempat kejadian.

Azham berkata, mangsa yang telah berkahwin dan mempunyai lima anak itu berasal dari Kampung Chenerong, Thailand tetapi telah menetap di Malaysia sejak 22 tahun lepas. Anggota keluarganya menetap di Thailand.

"Dia juga tidak tinggal tetap di rumah kongsi itu, sebaliknya sentiasa berulang alik ke rumahnya di Kampung Simpangan, Tumpat,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati saksi yang tinggal di kawasan perumahan berhampiran tapak projek itu terdengar bunyi letupan sebanyak tiga kali./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan