Isnin, 18 Jun 2012

Dadah diisi dalam pek minuman untuk dijual


ABDUL Rahim (tiga dari kanan) menunjukkan rampasan dadah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Gombak di Selayang semalam.
GOMBAK: Taktik satu sindiket pengedaran dadah menyorok bahan terlarang tersebut di dalam pek-pek minuman segera terbongkar selepas polis menyerbu sebuah rumah teres tiga tingkat yang diubah suai menjadi pusat hiburan di Bukit Idaman, Selayang di sini kelmarin.

Operasi yang bermula pada pukul 1 pagi itu kemudian membawa polis ke sebuah unit kondominium di kawasan berhampiran dan merampas dua buah kenderaan iaitu Toyota Alphard dan BMW.

Pemeriksaan di dalam rumah teres, satu unit kondominium dan dua buah kenderaan itu, polis menemui sejumlah dadah jenis pil eramin 5, ketamin dan ekstasi yang kesemuanya bernilai RM570,000.

Sebahagian daripada dadah yang dirampas itu sama ada berbentuk pil dan serbuk sudah dimasukkan ke dalam pek minuman segera seperti pek minuman teh, milo atau kopi bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

Dalam serbuan itu, polis menemui puluhan botol kaca kecil yang digunakan untuk menghisap dadah.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, dalam serbuan tersebut, polis menahan lapan orang termasuk dua wanita dan seorang daripadanya warga China berusia antara 16 hingga 56 tahun./kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan