GEORGETOWN: Tidak tahan menanggung penderitaan kerana barah leher dialaminya, seorang lelaki warga emas nekad terjun dari tingkat tiga Wad C 15, Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, awal pagi semalam.
Tan Jit Wan, 68, sudah seminggu berada di HPP untuk menjalani rawatan penyakit dialaminya itu dan dia dikatakan pernah mengadu kepada doktor serta jururawat kerana tidak tahan menanggung sakit.
Bagaimanapun, kira-kira jam 2.30 pagi semalam, mangsa yang dilihat murung dan termenung di tepi tingkap berhampiran katilnya, terjun melalui tingkap itu.
Pengawal keselamatan, Sarina Maidin, 50-an berkata, dia terdengar bunyi objek terhempas sebelum meninjau di lokasi kejadian.
“Saya terkejut mendapati tubuh seorang lelaki dengan kesan darah di kepalanya sebelum menghubungi polis,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komsioner Gan Kong Meng ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati mangsa terjun kerana tidak tahan menanggung penderitaan akibat penyakit dialaminya itu.
“Mangsa sebelum ini pernah menceritakan kepada doktor serta jururawat yang dia tidak dapat menahan penderitaan akibat kanser leher dialaminya itu.
“Selain itu, mangsa juga dilihat kerap termenung di tepi tingkap dan semalam, dia akhirnya nekad terjun dari tingkat tiga dan mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.
Difahamkan, ketika itu ada beberapa pesakit ternampak mangsa yang cuba terjun namun mereka tidak sempat menghalangnya kerana kejadian berlaku dengan pantas.
Kes itu adalah kejadian kali kedua membabitkan pesakit terjun di tingkat tiga wad C15 kerana tidak tahan menanggung azab penyakit dialami.
Mei lalu, seorang penghidap penyakit batuk kering yang juga seorang lelaki warga emas, R Tanchavarnam, 68, turut mengambil jalan mudah menamatkan riwayatnya dengan terjun dari tingkap./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan