KUALA TERENGGANU: Apa sudah jadi remaja sekarang. Seorang remaja bawah umur yang tidak bersekolah ‘kantoi’ ketika mengintai jirannya sedang mandi dalam satu kejadian di Kampung Tanjung, di sini, pada 26 Januari lalu.
Lebih malang, remaja berusia 16 tahun itu berjaya dicekup suami jirannya itu sendiri, setelah perbuatan tersebut disedari mangsa yang berumur 27 tahun.
Berikutan kejadian itu, remaja yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam dan dituduh mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Kesalahan Kecil 1955.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengintai mangsa yang sedang mandi di sebuah rumah di Kampung Tanjung, di sini, kira-kira jam 6 pagi pada 26 Januari lalu.
Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan berdepan dengan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang berpakaian kemeja, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya, sebelum mengaku salah di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nurulbadriah Mohamed Esa manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hayyatuddin Muhamad.
Abdul Hayyi kemudiannya menetapkan 24 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk hukuman dan perintah sementara menunggu laporan akhlak tertuduh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM500 dengan seorang penjamin./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan