Di sinilah lokasi mangsa terjatuh daripada motosikalnya selepas ditikam oleh seorang remaja di Kampung Laut, malam kelmarin.
TUMPAT: Percutian seorang pekerja kilang di kampung halamannya bertukar tragedi apabila dia maut ditikam senjata tajam dipercayai sebilah keris ketika cuba menyelesaikan kes pergaduhan melibatkan saudaranya di Kampung Laut di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam, mangsa, Mohd Al-Serena Mat Rahim, 26, ditikam oleh seorang remaja lelaki berusia 19 tahun akibat cuba masuk campur menyelesaikan kes saudaranya ditampar berkaitan kejadian menunggang motosikal laju.
Mangsa yang berasal dari Kampung Berlian di sini mengalami kecederaan parah di dada kanan akibat terkena tikaman itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tumpat.
Bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital terbabit.
Bapa mangsa, Mat Rahim Junoh, 58 berkata, anak ketiganya itu daripada lapan beradik baru pulang bercuti dua minggu lalu selepas hampir lapan bulan tidak pulang kerana sibuk bekerja di sebuah kilang di Kuala Lumpur.
Katanya, menurut cerita anaknya merupakan adik mangsa, Mohd Faiz, 22, yang turut berada di tempat kejadian, selepas mangsa terkena tikaman itu, dia mengarahkan adiknya dan kawan-kawannya pulang.
“Mangsa menunggang motosikal untuk pulang tetapi selang beberapa langkah motosikal yang ditungganginya itu terbalik,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tumpat.
Menurutnya, Faiz terus mendapatkan abangnya yang terbaring di atas jalan dan panik seketika kerana darah memancut keluar di bahagian dada.
“Terdengar arwah mengerang kesakitan menyebut 'sakit…sakit…'. Selepas itu arwah terus kaku dan dikejarkan ke hospital menaiki kenderaan pacuan empat roda penduduk di situ yang kebetulan melalui kawasan kejadian,” katanya.
Mat Rahim berkata, anaknya ke tempat kejadian di simpang empat berdekatan dengan Sekolah Kebangsaan Sri Kampung Laut bersama lima rakannya menaiki tiga buah motosikal termasuk adiknya itu, Faiz.
“Arwah tidak menunjukkan sebarang petanda yang pelik, cuma sebelah petang di hari kejadian itu, arwah tidak mahu naik ke rumah. Selepas itu dia tidak pulang ke rumah sehinggalah saya menerima panggilan daripada Faiz mengatakan arwah meninggal dunia,” katanya.
Jenazah arwah dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Berlian di sini, petang semalam.
Sementara itu , Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.
Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 kanun keseksaan, suspek yang berasal dari Kampung Laut melarikan diri ketika serbuan dilakukan di rumahnya.
Katanya, kejadian itu berlaku apabila mangsa ke rumah suspek di Kampung Laut untuk menyelesaikan kes saudaranya yang ditampar oleh suspek.
“Bagaimanapun, suspek meminta mangsa menunggu di simpang empat berdekatan rumahnya itu," katanya.
Jalaluddin berkata, ketika mereka bertemu di simpang itu, mangsa menampar suspek dan berlaku pergelutan.
“Suspek mengeluarkan senjata dipercayai sebilah keris dan terus menikam mangsa terkenadi bahagian dada sebelah kanan,” katanya.
Menurutnya, suspek terus melarikan diri dengan menaiki motosikal berhampiran tempat kejadian yang ditunggangi oleh seorang lelaki./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan