Jumaat, 29 Jun 2012

Lelaki Hilang Ditemui Mati Dengan Kepala Hampir Putus

KUALA LUMPUR: Misteri kehilangan seorang lelaki tempatan yang dikatakan hilang sejak Sabtu lepas terjawab apabila mayatnya ditemui di dalam longkang di Segambut Gate di sini Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supt Othman Abu Bakar berkata mayat lelaki berumur 35 tahun itu ditemui orang awam pukul 1.30 tengah hari dalam keadaan perutnya yang sudah kembung, leher diikat dan kepala ditutup dengan selimut.

"Mayat lelaki yang berasal dari Segambut itu ditemui tersangkut di perangkap sampah dengan berpakaian kemeja-T dan berseluar pendek. Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapati ada enam kesan tikaman di dada kanan lelaki itu selain kepalanya hampir putus," katanya pada sidang media di sini Khamis.

Menurutnya, laporan pihak hospital menunjukkan lelaki itu mati dua hari lepas.

Isteri lelaki itu sebelum ini membuat laporan polis mengenai kehilangan suaminya pada Isnin lepas.

"Kita tidak menolak kemungkinan lelaki itu dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak ke longkang tersebut," kata Othman, sambil menambah kata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

Dalam kes berasingan, polis menahan seorang lelaki warga Colombia yang menjadikan kondomium mewah di Solaris Duta di sini sebagai sasaran pecah rumah.

Othman berkata lelaki berumur 30 tahun itu ditahan pada 9.30 malam tadi ketika terjatuh ke dalam sebuah longkang besar berdekatan kondominum itu semasa melarikan diri daripada anggota polis yang mengejarnya.

"Suspek sempat melemparkan dua beg yang disandangnya ke tepi jalan sebelum terjun ke longkang itu. Akibatnya, lelaki yang memasuki negara ini pada 20 Jun lepas dengan menggunakan pas pelancong itu cedera di buku lali kanan dan kini dirawat di HKL," katanya.

Othman berkata polis yang memerika beg berkenaan menemui pelbagai peralatan pecah rumah seperti pemutar skru, spanar dan sarung tangan di samping barangan curi iaitu komputer riba, wang tunai RM1,000 dan telefon bimbit.

Turut ditemui pasport lelaki terbabit yang menunjukkan suspek sudah beberapa kali memasuki negara ini serta keluar dan masuk ke Singapura dan Thailand.

"Polis percaya suspek ditahan sejurus memecah masuk beberapa buah unit kediaman di kondominium itu," katanya, sambil menambah kata polis sedang mengesan sekiranya ada suspek-suspek lain melalui rakaman kamera litar tertutup./Bernama






















Tiada ulasan:

Catat Ulasan