Difahamkan, Sew Lei Ngik, berusia dalam lingkungan 30-an dikatakan melarikan diri gara-gara tidak tahan dengan sikap cemburu suaminya, Ding Kwong Tong, 40, yang menuduhnya mempunyai skandal dengan lelaki lain.
Ding mendakwa, Sew turut membawa tiga anak mereka, iaitu seorang lelaki dan dua perempuan yang berusia antara empat dan lapan tahun serta semua barang peribadi termasuk dokumen pengenalan diri, tanpa memberitahunya.
Katanya, sebelum kejadian, dia kerap memarahi dan menuduh isterinya curang selepas rakannya mendakwa melihat Sew keluar minum bersama lelaki lain.
“Selepas sedar isteri dan anak hilang, saya cuba menghubungi isteri, namun panggilan tidak dijawab. Anak saya ada menjawab panggilan telefon itu, tetapi mengatakan mereka tinggal di rumah sewa baru di Kuala Lumpur.
“Saya mengaku panas baran dan cemburu membuatkan isteri melarikan diri. Saya sudah insaf, tolonglah pulang,” rayunya pada sidang media di Wisma MCA, semalam.
Ding juga berjanji tidak akan mengulangi sikap buruk itu di hadapan Ketua Jabatan Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong dan petugas media.
Dalam kes berasingan, Chong meminta kerjasama orang ramai supaya memaklumkan kepadanya atau polis berhubung kehilangan dua individu termasuk seorang warga emas.
Katanya, keluarga Ong Fei Chin, 26, dan Wong Siew Hong, 77, kelmarin hadir meminta bantuan berhubung kehilangan itu kerana khuatir keselamatan kedua-dua mereka.
“Ong dilaporkan hilang bersama dua anaknya di rumah ibu bapanya di Teluk Intan, Perak, sejak setahun lalu. Ketika suami datang jemput, rumah mertuanya berkunci dan tiada orang, kali kedua ke rumah itu, bapa mertuanya berkata, Ong sudah lama keluar, tetapi tidak diketahui lokasinya kini.
“Wong pula hilang di rumah orang tua di Sungai Way Petaling Jaya, Selangor lebih dua minggu lalu. Kehilangannya hanya disedari apabila penjaga premis mendapati dia tidak pulang untuk makan tengah hari,” katanya.
Chong berkata, pihaknya menerima 48 kes membabitkan kehilangan keluarga antara Januari dan November tahun ini.
Katanya, daripada jumlah itu, 32 kes membabitkan kehilangan wanita, manakala 16 kes lelaki.
Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai tiga individu itu diminta menghubungi Jabatan Pengaduan Awam di talian 03-21618044./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan