JOHOR BAHRU: Seorang pengawal keselamatan di sebuah krematorium (pusat pembakaran mayat) Hindu di Jalan Kebun Teh, di sini, mati ditetak dengan kapak selepas bertengkar dengan rakan sekerjanya, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, dalam kejadian jam 1.15 petang itu, mangsa berumur 32 tahun itu dikatakan bertengkar dengan suspek berumur 54 tahun yang bekerja sebagai tukang kebun di tempat sama.
"Pertengkaran kedua-dua lelaki itu membawa kepada suspek bertindak menetak mangsa dengan kapak.
"Hasil siasatan awal, polis tidak menolak kemungkinan punca pertengkaran adalah disebabkan faktor kerja, bagaimanapun punca sebenar masih dalam siasatan," katanya kepada pemberita, di sini, semalam.
Zainuddin berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah di leher meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, di sini, untuk bedah siasat.
Katanya, polis yang mendapat maklumat terus menahan suspek di tempat kejadian dan menemui senjata digunakan dalam insiden itu.
"Semakan fail polis mendapati suspek yang bekerja sebagai tukang kebun di krematorium itu sejak setahun lalu, berasal dari bandar raya ini dan mempunyai 10 rekod jenayah lampau, termasuk kes dadah.
"Mangsa pula berasal dari Seremban dan baru bekerja di pusat pembakaran mayat itu," katanya.
Polis menyiasat kes pembunuhan itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan