KLANG: Seorang bekas tentera yang menyamar sebagai doktor sejak dua tahun lepas dan pernah membantu kelahiran sembilan bayi di sebuah klinik swasta di sini, ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supritendan Mohamad Shukor Sulong berkata, hari ini kegiatan lelaki berumur 41 tahun itu terbongkar apabila seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang bekerja di klinik berkenaan membuat laporan polis pada 11 November lepas mendakwa dia telah dicabul oleh suspek.
Lelaki itu yang berasal dari Sendayan, Negeri Sembilan sebelum ini sentiasa berpindah-randah dengan bekerja sebagai pakar perubatan di beberapa klinik di sekitar Lembah Klang bagi mengelakkan kegiatan liciknya dikesan.
Bercakap pada sidang akhbar di sini, Mohamad Shukor berkata suspek ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi 22 Nov lepas ketika sedang merawat seorang pesakit yang hendak bersalin di sebuah klinik di Klang Utama.
"Selepas menerima aduan cabul pihak kami cuba mengesan suspek, bagaimanapun dia dikatakan pulang ke kampung untuk bercuti.
"Sebaik pulang dari bercuti kita berjaya mengesannya di sebuah klinik dan menahannya untuk membantu siasatan kes cabul," kata beliau.
Mohamad Shukor berkata siasatan lanjut mendapati suspek bukan seorang doktor dan hanya memiliki diploma pembantu perubatan dari sebuah kolej di Seremban, Negeri Sembilan sebelum diterima masuk dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Katanya, suspek berhenti kerja pada 2006 semasa bertugas sebagai pembantu perubatan di sebuah hospital tentera di Melaka dan sejak itu dia mula menyamar sebagai doktor di beberapa buah klinik.
Beliau berkata, siasatan juga mendapati lelaki itu pernah melakukan penyamaran yang sama di Rawang dan Bestari Jaya.
"Suspek yang beristeri dan mempunyai sembilan anak kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyamar yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali," katanya./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan