Jumaat, 3 Disember 2010

Curi: 8 pelajar, pembantu kantin ditahan

KANGAR: Lapan remaja lelaki dan seorang pembantu kantin di sebuah institusi pengajian tinggi awam dekat sini, ditahan dalam beberapa operasi sejak Rabu lepas kerana disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal di kawasan utara Semenanjung.
Timbalan Ketua Polis Daerah Arau, DSP Lee Swee Meng berkata, kesemua pelajar berkenaan berusia 16 tahun, manakala pembantu kantin lelaki itu pula berusia 21 tahun.
Penangkapan mereka yang kesemuanya berasal dari Kodiang, Kedah dipercayai dapat menyelesaikan kes curi motosikal di sekitar Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau berkata, tangkapan pertama melibatkan dua pelajar di sebuah pasar raya dekat sini pada pukul 2 pagi, diikuti tangkapan kedua melibatkan seorang pelajar dan pembantu kantin di rumah masing-masing pada pukul 3.30 pagi.
Hasil soal siasat, mereka mengaku mencuri 30 buah motosikal di sekitar Kangar, Arau, Changlun, Padang Besar, Jitra dan Alor Setar, katanya./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan