SHAH ALAM: Seorang buruh maut setelah ditetak bertubi-tubi di seluruh badan oleh empat lelaki bersenjatakan parang, di luar rumahnya di Kampung Melayu Subang, kelmarin.
Sebelum kejadian kira-kira jam 7.50 malam itu, mangsa yang hanya dikenali Shamsul berusia 30-an, warga Indomesia, sedang bersembang dengan dua rakannya di hadapan rumah itu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, empat lelaki, yang juga warga Indonesia, terus menyerang dan menetaknya.
“Tangan kanan mangsa hampir putus. Dia juga cedera di seluruh badan, muka dan leher.
“Mangsa yang tinggal di premis itu bersama ibu dan isterinya sejak 10 tahun lalu, mati di tempat kejadian,” katanya, semalam.
Beliau berkata, empat lelaki itu melarikan diri, manakala dua rakan mangsa tidak dicederakan.
Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.
Arjunaidi berkata, polis sedang memburu empat penjenayah itu dan mereka mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi talian 03-7956 2222 bagi membantu siasatan./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan